Categories
BERITA UTAMA

Kejayaan Kerajaan Selangor mampu lenyapkan wayang ‘Langkah Kajang’

Oleh: KOLAR PUTIH

“Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih.” Peribahasa ini tepat menggambarkan sikap tidak konsisten dan pilih bulu oleh watak-watak utama wayang ‘Langkah Kajang’ dalam usaha menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Mengapa isu yang terlalu umum yang menjadi masalah bukan sahaja di Selangor malah diseluruh Malaysia seperti jalan berlubang dan masalah kutipan sampah telah dipilih untuk dijadikan alasan kegagalan (kononnya) Abdul Khalid mentadbir negeri Selangor?

Mengapa isu yang diluar bidang kuasa Abdul Khalid diletakkan sebagai kesalahan beliau seperti isu rampasan bible Bahasa Melayu oleh Abdul Khalid? Dalam bidang siasatan, barang-barang yang dirampas hanya boleh dipulangkan setelah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang melapor terus kepada Pejabat Peguam Negara, dan bukannya di bawah bidang kuasa pihak yang merampas.

LangkahBila disebut mengenai TPR dan Pejabat Peguam Negara, entiti-entiti ini adalah penghubung antara cabang perundangan dan eksekutif, manakala Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor adalah di bawah cabang eksekutif yang secara jelas tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam isu pemulangan bible Bahasa Melayu ini.

Konsep doktrin pengasingan kuasa antara cabang perundangan, legislatif dan eksekutif adalah konsep paling asas dalam sistem demokrasi. Namun, adalah sangat janggal kerana kebanyakan politikus-politikus picisan yang kononnya ‘jaguh demokrasi’ sendiri gagal dan keliru untuk memahami perkara semudah ini.

Sejak Abdul Khalid memimpin jemaah pentadbiran negeri Selangor sejak 2008, satu agenda penting iaitu ‘Hasil Negeri Untuk Rakyat’ telah disalurkan kepada rakyat Selangor melalui program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Bermula dengan 7 program iaitu air bersih percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Anak Pekerja Ladang dan Peningkatan Hasil Galian, Kerajaan Negeri Selangor telah meletakkan asas yang kukuh supaya MES boleh terus berkembang menjangkau kumpulan sasar yang lebih meluas.

Kini MES telah berkembang dengan 10 lagi program iaitu Skim Kesihatan Wanita, Skim Mikrokredit Miskin Bandar, Pusat Dialisis Rakyat, Kemudahan Cuti Tambahan, Program Tuisyen Rakyat, Skim Mikrokredit Wanita Ladang, Skim Bantuan Asuhan Rakyat, Skim Bantuan Tadika dan Insentif Perkahwinan Belia.

Pastinya kesemua 17 program MES ini tidak akan direalisasikan sekiranya ekonomi negeri Selangor tidak berdaya tahan dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Hasil daripada disiplin pengurusan kewangan yang baik telah menjadi pemangkin kepada daya tahan ekonomi negeri Selangor sekaligus memberi keupayaan pelaksanaan kesemua program MES tersebut.

mesTidak cukup dengan itu, mengapa watak-watak utama wayang ‘Langkah Kajang’ kini umpama terkelu lidah mengenai keupayaan negeri Selangor mencatat Rizab Negeri tertinggi iaitu hampir RM3 bilion? Abdul Khalid telah mengumumkan 6 inisiatif ampuh untuk rakyat iaitu pembinaan Jambatan Ketiga Kelang, pembinaan rumah mampu milik, pembinaan beberapa bangunan sekolah, pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia, serta pembangunan desa dan pemberdayaan wanita hasil daripada limpahan hasil ekonomi negeri Selangor.

Inilah antara tuah rakyat Selangor. Namun, sungguh malang apabila terdapat wayang ‘Langkah Kajang’ yang secara terancang dan terperinci berusaha untuk mengaburi segala kejayaan dan pencapaian Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak cukup dengan itu, wayang ‘Langkah Kajang’ yang dipentaskan juga ingin menjatuhkan individu yang bertanggungjawab menatang dan seterusnya berjaya menjulang negeri Selangor dalam banyak aspek.

Semoga rakyat Selangor dapat terus membulatkan tekad dan mengikat ikrar untuk terus mempertahankan keharmonian dan kedaulatan negeri Selangor daripada mereka yang telah tercalit arang nepotism yang meletakkan kepentingan diri melebihi daripada kepentingan rakyat Selangor. 

Leave a Reply

Your email address will not be published.