Categories
NASIONAL

Mahkamah Persekutuan tetapkan 28 Oktober rayuan terakhir kes Anwar

PUTRAJAYA, 15 OGOS: Mahkamah Persekutuan menetapkan dua hari mulai 28 Oktober ini bagi mendengar rayuan terakhir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kes membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu pada sebutan kes semalam selepas bertemu peguam Anwar, Ramkarpal Singh, N Surendran dan Latheefa Koya serta Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ramkarpal berkata, pada hari sama mahkamah juga akan mendengar rayuan balas pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara terhadap Anwar.

anwar n azizah mumbai picBeliau berkata, mahkamah juga menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar permohonan kali ketiga pihak pembelaan bagi menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berkenaan.

Terdahulu mahkamah menetapkan 8 dan 9 September ini untuk mendengar rayuan Anwar yang juga Ketua Pembangkang, namun ia dibantah peguamnya kerana peguam utama Datuk Sulaiman Abdullah tidak dapat hadir ke mahkamah pada tarikh berkenaan.

Ia berikutan Sulaiman yang mengalami masalah jantung dan menjalani pembedahan lutut sedang cuti sakit sehingga 13 Oktober ini.

Sulaiman mengetuai pihak pembelaan selepas kematian peguam Karpal Singh dalam nahas jalan raya, pada 17 April lalu.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Anwar bagi pertuduhan meliwat pada 26 Jun 2008 di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published.