Oleh: LIZAWATI MADFA
HULU SELANGOR, 16 OGOS: Kerajaan Negeri terus komited membina lebih banyak rumah mampu milik pada masa hadapan untuk memenuhi keperluan rakyat Selangor.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan 40,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang melalui program Rumah Selangorku.
Katanya, komitmen itu selaras dengan keperluan mendesak rakyat untuk memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.
“Kita akan mulakan projek rumah mampu milik sendiri pada Oktober tahun ini di Sungai Sering yang diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menggunakan rizab negeri RM100 juta.
“Usaha ini akan kita perluaskan lagi bagi membolehkan rakyat menikmati hasil ekonomi Selangor,” katanya di hadapan lebih 100 hadirin pada Majlis Cabutan Undi Rumah Selangorku Idaman Antara Gapi yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, hari ini.
Antara Gapi adalah projek mampu milik ketiga dibangunkan PKNS selepas Bukit Botak, Selayang dan Bandar Baru Bangi.
Projek yang dijangka siap pada penghujung Disember ini menyediakan 129 unit kediaman rumah teres 1 1/2 tingkat pada harga bermula RM180,000 seunit mengikut keluasan tapak.
Pada perkembangan lain, PKNS akan membangunkan 198 unit ‘town house’ di Kota Puteri selain 5,000 kediaman mampu milik yang dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa lima tahun lagi.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan LPHS dan melepasi saringan dengan syarat ditetapkan sebelum nama mereka dimajukan kepada PKNS.
Antara syarat permohonan, pendapatan bulanan tidak melebihi RM8,000 sebulan, tidak memiliki sebarang jenis kediaman lain di Selangor dan tujuan pembelian untuk mendiami bukan disewakan.
-NFN-