Categories
SELANGOR

Media: Abdul Khalid MB dikagumi, mesra & jawab semua soalan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pengunduran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan sahaja meninggalkan kesan kepada para penjawat awam, tetapi juga kalangan media.

Sejak awal krisis kerusi Menteri Besar, ramai wartawan melahirkan rasa marah dan kurang senang dengan serangan dan tuduhan integriti yang dilemparkan terhadap bekas ahli korporat tersohor itu.

MB Berbuka bersama media (35)aaWartawan Sinar Harian, Janatul Firdaus Yaacob 28, menyifatkan Abdul Khalid sebagai pemimpin yang paling dikagumi dan pengundurannya nyata memberi impak besar.

“Setelah mendapat tahu hari ini hari terakhir beliau, saya rasa kehilangan seolah-olah separuh jiwa saya pergi.

“Pastinya saya akan merindui seorang tokoh yang baik, jujur dan bersih hatinya seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tidak ada lagi lawak selambanya selepas ini di dalam sidang media. Moga Allah terus rahmatinya,” katanya kepada Selangor Kini.

Hari ini dilaporkan hari terakhir Abdul Khalid bergelar Menteri Besar Selangor selepas mula menjawatnya pada Mac 2008.

Istana dijangka mengumumkan bakal Menteri Besar baru hari ini selepas menerima senarai calon pengganti Abdul Khalid daripada parti PAS, PKR dan DAP.

Sementara itu, seorang lagi pengamal media daripada Kini TV, Zikri Kamarulzaman 25, berkata Abdul Khalid seorang pemimpin yang mudah didekati tanpa sebarang protokol yang remeh.

“Senang untuk mendekatinya, ajukan apa sahaja soalan beliau pasti menjawab walau macam mana sekalipun.

“Cuma selepas dipecat daripada PKR, beliau mengelak untuk menjawab soalan yang mungkin pada fikirannya boleh mencetuskan spekulasi tidak sihat.

“Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah buat pengamal media kerana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih mampu senyum, sentiasa tenang dan melayan media dengan baik,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.