Categories
NASIONAL

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

SHAH ALAM, 22 NOV: Jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sekitar Kota Bharu dan Pasir Puteh meningkat kepada 155 orang pagi ini berbanding 130 orang, semalam.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, 96 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong dan 34 mangsa ditempatkan di SK Tiong di daerah Kota Bharu, manakala di Pasir Puteh pula, 25 orang ditempatkan di SK Wakaf Raja.

Memetik Bernama, bacaan air di Sungai Golok, Rantau Panjang pada jam 8 pagi ini menurun sedikit daripada paras amaran iaitu daripada 9.05 meter malam tadi kepada 8.79 meter (bahaya 9 meter).

Sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup.

Cuaca di Kelantan pagi ini cerah dan tiada hujan.

Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu beransur pulih apabila ramai mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak semalam kerana keadaan cuaca yang semakin baik.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, 2,741 mangsa masih berada di 15 pusat pemindahan di tiga daerah sehingga jam 9 pagi ini, berbanding 3,879 orang yang dilaporkan malam tadi.

“Sebanyak 1,138 orang dibenarkan pulang sejak petang semalam,” menurut laporan itu.

Katanya, Kuala Terengganu kekal kawasan paling ramai mangsa banjir dipindahkan berbanding kawasan lain iaitu membabitkan 2,350 orang daripada 591 keluarga dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

Diikuti daerah Marang 303 orang (74 keluarga) yang ditempatkan di tiga pusat, manakala di Setiu 88 mangsa (20 keluarga).

Di Setiu, mangsa banjir ditempatkan di dua pusat iaitu Surau Kampung Nyatoh (56 orang) dan Surau Pengkalan Gelap (72 orang).

Leave a Reply

Your email address will not be published.