Categories
SELANGOR

BN cadang agihan jawatankuasa 3-3, PR anggap tidak wajar

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak mencadangkan pindaan bersama Seksyen 72 (1) Dewan Negeri Selangor (DNS) supaya empat daripada enam jawatankuasa diberikan kepada Barisan Nasional (BN) secara majoriti mudah.

Hal itu kerana,  ia akan membawa kepada kesukaran membuat keputusan andai berlaku bantahan dari segi komposis jika sesebuah jawatankuasa itu dipengerusikan oleh BN, namun majoriti ahli jawatankuasa daripada PR.

Katanya, beliau mencadangkan supaya majoriti ahli jawatankuasa juga daripada BN dan begitu juga sebaliknya jika satu jawatankuasa itu dipengerusikan parti itu.

“Kalau kita ingin menjadikan ia satu jawatankuasa yang betul-betul kuat seperti Selcat atau yang ditubuhkan dewan, yang mana jawatankuasa ini dipengerusikan ADUN PR, komposisi ahli juga daripada mereka.

sulaiman abdul razak“Komposisi PAC juga harus majoritinya BN, mudah kita untuk laksanakan tugas. Sebagai contoh, jawatankuasa seperti Selcat yang dipengerusikan Speaker, tetapi majoriti ahli adalah daripada BN, sudah tentu ada kesukaran menjalankan tugas jika ada bantahan.

“Mungkin sudah dibuat (diluluskan) Pengerusi PAC adalah daripada ADUN BN, sedangkan majoritinya PR, bagaimana jawatankuasa ini mampu menjalankan tanggungjawab seperti yang dikehendaki dewan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Seksyen 72 (1) DNS) menyatakan jumlah jawatankuasa adalah bergantung kepada jumlah parti yang menang dalam dewan.

Sulaiman berkata, walaupun ADUN BN adalah ahli majoriti sesebuah jawatankuasa, mereka tetap perlu melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peraturan DNS dan bukan mengambil tindakan secara tidak munasabah.

DNS sebelum ini meluluskan pindaan Peraturan Tetap 68(1) supaya Ketua Pembangkang dilantik menjadi Pengerusi PAC yang turut disertai seorang ADUN BN dan lima anggota daripada PR.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) ketika dihubungi berkata, pindaan itu adalah satu perubahan ketara yang belum pernah dibuat DNS.

ng suee limTindakan itu membuktikan keikhlasan kerajaan PR, selain memberikan ruang kepada pembangkang memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan.

Menyentuh soal cadangan BN supaya jawatankuasa diberikan secara majoriti mudah kepada mereka, beliau menjelaskan, ia tidak wajar dilakukan walaupun jawatankuasa itu diagihkan sama banyak (3-3) kepada BN dan PR.

Suee Lim berkata, pengagihan sama rata itu menimbulkan kekeliruan siapa sebenarnya kerajaan atau pembangkang.

“Ini tidak memenuhi prinsip dan aspirasi demokrasi Komanwel yang kita amalkan selama ini.

“Di British dan India sendiri mereka tidak mempraktikkan anjakan sedemikian. Mereka menggunakan kaedah melantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi PAC tetapi dalam jawatankuasanya mereka mengambil nisbah kerajaan dan pembangkang.

“Kalau permintaan pembangkang (BN) untuk menjadikan mereka majoriti, ini luar daripada kaedah demokrasi yang dipraktiskan. Kita kena akur PR adalah majoriti dengan 43 kerusi, jadi harus melihat dari segi aspirasi mandat rakyat ini.

“Kita boleh membuat anjakan tetapi tidak boleh bercanggah daripada mandat rakyat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.