Categories
SELANGOR

MB: PR tumpu isu maqasid syariah, hudud dibincang Majlis Presiden

Oleh : AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 23 DIS: Sebarang cadangan berkaitan masa depan Pakatan Rakyat (PR) termasuk isu hudud perlu dibincang dan diputuskan melalui sidang khas pada mesyuarat Majlis Presiden PR.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, PR akan lebih memberikan tumpuan kepada isu terkandung dalam maqasid syariah seperti ekonomi, sosial dan keselamatan disebabkan hudud bukan dasar bersama yang dicapai dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat biro politik yang dipengerusikan beliau, pada 21 Disember lalu berpendapat jika ada pandangan atau cadangan baru perlu dibawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PR yang akan berlangsung, pada awal Januari depan.

pakatan“Semasa sidang Majlis Presiden PR nanti, kita akan berbincang beberapa perkara terkini seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), ekonomi merudum, mata wang sudah lemah termasuk hudud jika ia dibangkitkan.

“Hudud bukan soal individu parti menggubal dasar tetapi harus dimuafakati bersama PR seperti yang dipersetujui sebelum ini, yang mana sesuatu dasar itu mesti disepakati pimpinan PR,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor, di Hotel Holiday Villa, dekat sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, hudud bukan isu baru yang pernah dibangkitkan PAS kerana cadangan seumpama itu pernah dibincangkan dalam kalangan pemimpin PR sebelum ini.

Katanya, PR menghormati Enakmen Jenayah Syariah II yang pernah diluluskan Kerajaan Kelantan pada tahun 1993 sebelum pembentukan Barisan Alternatif.

azmin“Itu pendirian yang kita ambil beberapa tahun dahulu, yang mana mendiang Karpal Singh juga hadir dalam mesyuarat berkenaan di ibu pejabat PAS.

“Exco Kelantan juga hadir memberikan penjelasan berkenaan enakmen yang diluluskan pada 1993 dan selepas berbincang panjang baru kita mengambil muafakat itu dalam PR,” katanya.

Semalam, The Malaysian Insider menyiarkan berita berkenaan kenyataan PAS Selangor iaitu PKR wajib menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud ekoran pemimpin tertingginya beragama Islam.

Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Zaidy Talib menafikan beliau berkata PKR wajib menyokong hukum hudud, tetapi menyatakan semua umat Islam termasuk ahli parlimen PKR yang beragama Islam wajib menyokong hudud.

Mengulas berkenaan gesaan Zaidy itu, Mohamed Azmin percaya cadangan itu adalah pandangan seorang pemimpin kanan parti yang matang, namun semua keputusan perlu terikat dengan dasar PR.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.