Categories
SELANGOR

Sogokan wang tunai tak dapat selesai masalah kemiskinan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 DIS: Kerajaan Negeri akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah kepada menengah dengan pelbagai program jangka panjang dan proaktif.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, usaha berterusan itu bakal membantu golongan terbabit meningkatkan pendapatan dan keluar dari kepompong kemiskinan.

Katanya, pendekatan proaktif penting kerana dengan cara itu mampu membantu dan mendorong golongan terbabit berusaha memperbaiki hidup ke arah penghijrahan kepada kehidupan yang lebih baik.

SKIMSEL9“Kita tidak setuju dengan pendekatan sesetengah kerajaan yang memberikan sogokan wang tunai kerana pemberian itu tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan.

“Kerajaan yang bertanggungjawab harus memikirkan langkah lebih proaktif supaya usaha ini lebih ‘sustainable’ dan dapat dipertahankan untuk jangka panjang supaya golongan berpendapatan rendah dapat dihijrahkan masuk kepada menengah,” katanya ketika berucap dalam Karnival Usahawan Perangsang-SkimSel (KAWAN) 2014 di Giant Kemuning Utama, di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi; ADUN Meru merangkap Pengerusi Skim Mikrokredit  Selangor (SkimSel), Dr Abdul Rani Osman; ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Parlimen Bukit Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

SKIMSEL6Pada majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan pembiayaan SkimSel kepada peserta program berkenaan.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan dicatatkan SkimSel amat membanggakan dan Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2015 meningkatkan peruntukan untuk skim terbabit demi membantu golongan sasaran dengan jumlah bilangan yang lebih besar.

“Di dalam Belanjawan Selangor 2015, kita naikkan peruntukan kepada RM100 juta iaitu RM60 juta untuk SkimSel, manakala RM40 juta untuk Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR).

SKIMSEL13“Saya berharap pengurusan SkimSel dapat memberikan perhatian kerana RM60 juta yang kita berikan cukup besar dan dimaklumkan ada usaha untuk meningkatkan bilangan peserta daripada 10,287 ketika ini kepada 20,000 orang pada tahun akan datang,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan SkimSel menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi membantu golongan sasaran dan sehingga kini pembiayaan RM89.03 juta disalurkan kepada mereka dengan catatan membanggakan apabila 98 peratus peserta membayar semula.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.