Categories
KENYATAAN MEDIA

Solah hajat, derma kilat mangsa banjir di Masjid seluruh Selangor

Oleh: Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi

Kerajaan Negeri Selangor, melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi amat bersimpati serta prihatin dalam isu banjir yang berlaku di Negeri Pantai Timur.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengajak kepada semua umat Islam di seluruh Negara khususnya rakyat negeri Selangor mengadakan solat hajat dan munajat pada hari Jumaat ini (02 Januari 2014) selepas solat Jumaat serta boleh ditunaikan pada bila-bila masa di antara solat di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri Selangor bagi memohon kepada Allah S.W.T agar musibah banjir ini dapat dipulihkan serta diberikan perlindungan dan keselamatan kepada mangsa-mangsa banjir.

Seperti yang dinyatakan di media masa iaitu jumlah keseluruhan mangsa banjir di 6 negeri yang terlibat sehingga kini adalah seramai 225,731 orangĀ  mangsa.

Negeri-negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Selangor.

Kami mengucapkan takziah serta semoga mereka sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

Atas rasa tanggungjawab dan simpati kami, satu mesyuarat khas bersama pihak JAIS telah diadakan, dan kami telah bersetuju membuat satu kutipan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir bagi kali ke-2 pada Jumaat ini (02 Januari 2015) di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor sebagai sokongan moral kami kepada mangsa-mangsa banjir.

Kutipan pertama telah dibuat pada hari Jumaat lalu (26 Disember 2014). Hasil kutipan sumbangan tersebut akan segera diserahkan kepada negeri yang terlibat.

Selain itu pihak kami akan bekerjasama dengan Yayasan Amal Malaysia untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Kerajaan Negeri Selangor telah mengiktiraf Yayasan Amal Malaysia (YAM) sebagai koordinator untuk menyelaras petugas-petugas sukarelawan ke negeri-negeri yang terlibat.

Kepada yang berminat untuk menjadi sukarelawan pasca banjir ini bolehlah menghubungi Ustaz Yusof bin Abdullah, Setiausaha Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor ditalian 014-729 3560.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada mangsa pesawat Air Asia QZ 8501.

Saya mendoakan agar usaha pencarian kesemua mangsa pesawat tersebut berjaya ditemui dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T serta takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

# Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.