Categories
SELANGOR

Isu PKNS: Orang ramai sambut baik, harap tidak berulang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 JAN: Penyelesaian berhubung penamatan kontrak 19 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang menjadi kontroversi satu ketika dahulu disambut baik orang ramai dalam usaha memastikan nasib pekerja terbabit terbela.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan memastikan kakitangan anak syarikat PKNS itu mendapat keadilan sewajarnya.

Katanya, perkara itu sudah dipanjangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS supaya proses pemecatan semua kakitangan PHSB itu diteliti semula.

NIK HIDAYATKakitangan swasta, Nik Hidayat Nik Mustafa, 30, berkata usaha Kerajaan Negeri dalam membela kebajikan pekerja adalah baik dan harus dipuji memandangkan isu berkenaan menimbulkan pelbagai spekulasi negatif sebelum ini.

Beliau berkata, penyelesaian terhadap perkara itu adalah tepat pada kerana sudah berlarutan hampir setahun dan meninggalkan kesan mendalam kepada kakitangan perbadanan terbabit.

“Bagus jika Kerajaan Negeri dan PKNS mengambil tindakan sedemikian kerana ia sudah terlalu lama dibiarkan dan seakan dilupakan masyarakat.

“Saya gembira dengan keputusan terbaru ini kerana selain membela nasib pekerja berkenaan, ia juga mampu mempertahankan imej PKNS selaku anak syarikat Kerajaan Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Pensyarah sambilan, Nadia Hanim Wasilan, 27, pula berpendapat tindakan mengambil semula sebahagian pekerja PKNS terbabit adalah relevan, apatah lagi mereka sememangnya memerlukan pendapatan tetap untuk menampung kehidupan seharian.

NADIA HANIM“Saya amat bersetuju dengan sikap toleransi yang ditunjukkan Kerajaan Negeri terutama berhubung soal kebajikan kakitangan PKNS yang sememangnya memerlukan perhatian.

“Harapan, semoga kejadian ini dijadikan iktibar dan tidak lagi berulang pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, tiga daripada 19 kakitangan PHSB yang dipecat pada Februari lalu mengemukakan permohonan dan kembali berkhidmat di perbadanan itu dan anak syarikat PKNS.

Manakala, baki 16 kakitangan lain sedang dalam penelitian dengan empat orang daripada mereka dalam proses temuduga.

Pengurusan PKNS juga sedang meneliti cadangan untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah bagi baki 12 kakitangan lain.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.