Categories
SELANGOR

MB pastikan 23 kakitangan PHSB dapat keadilan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri tidak pernah lepas tangan dan mengambil mudah keluhan bekas kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang dipecat, pada Februari 2014 lalu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan memastikan kakitangan anak syarikat PKNS yang terlibat itu mendapat keadilan sewajarnya.

Katanya, perkara itu sudah dipanjangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS supaya proses pemecatan melibatkan 23 kakitangan PHSB itu diteliti semula.

pkns-logo“Pengurusan PKNS perlu melihat semula proses pemecatan yang dibuat ketika itu dan saya sendiri menjadi mangsanya.

“Jika pemecatan itu ada ada unsur tidak adil, maka saya minta keadilan diberikan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.) kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Bukit Kayangan.

Sebelum ini, bekas kakitangan PHSB melahirkan rasa terkilan dengan sikap ambil mudah Mohamed Azmin yang didakwa gagal membela nasib mereka.

Wakil bekas kakitangan PHSB, Datuk Seri Dr Alif Aiman Abdullah berkata, pihaknya sudah tiga kali menghantar surat ke pejabat menteri besar, namun tiada tindakan susulan diambil atau dipanggil untuk berjumpa.

Ditanya sama ada PKNS akan mengambil semula semua individu terlibat untuk kembali berkhidmat, Azmin berkata, semua itu bergantung sepenuhnya kepada pengurusan PKNS selepas mereka selesai meneliti proses pemecatan.

AZMIN KELANTAN“Terpulang kepada mereka (pengurusan PKNS), sama ada pemecatan itu menepati asas dan pertimbangan yang betul atau tidak.

“Saya sudah mengingatkan perkara ini kepada ahli lembaga pengarah bahawa mereka perlu adil kepada pegawai dan penjawat awam yang terlibat,” katanya.

Pada 4 Februari lalu, media melaporkan 23 kakitangan kontrak PKNS menerima notis pemecatan 24 jam berkuatkuasa serta-merta.

Salah seorang kakitangan terbabit berkata, mereka menerima notis pemecatan itu tanpa alasan munasabah, kira-kira jam 9 pagi, hari yang sama.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi berkata, sebahagian daripada kakitangan PHSB yang ditamatkan kontrak sudah kembali berkhidmat dengan anak syarikat milik Kerajaan Negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan yang dikemukakan PKNS sebelum ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.