Categories
SELANGOR

MPS tunggu perbincangan status Pasar Taman Ehsan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang menunggu perbincangan lanjut bersama pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras berhubung bantahan perobohan Pasar Awam Taman Ehsan dalam kalangan peniaga dan penduduk di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang keputusan sehingga satu pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dibuat, awal Februari ini.

PASAR SS2 -1“MPS masih belum mempunyai sebarang keputusan berhubung tindakan perobohan pasar awam berkenaan kerana sedang menunggu proses perbincangan bersama Adun untuk mencari penyelesaian.

“Tetapi, pihak majlis yakin perkara ini akan diselesaikan secara baik,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Selangor Kini,di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini peniaga juga masih dibenarkan menjalankan perniagaan masing-masing seperti biasa.

ayam mentah pasar stok 03Terdahulu, MPS diminta untuk menangguhkan kerja meroboh Pasar Awam Taman Ehsan bagi memberi laluan perbincangan antara wakil peniaga, Adun Paya Jaras dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sendiri yang akan berlangsung, pada 4 Februari ini.

Difahamkan MPS mengambil keputusan merobohkan pasar itu dan digantikan projek rumah kedai yang dibangunkan pemaju swasta sebagai sumber pendapatan MPS memandangkan nilaian hartanah yang tinggi.

Sebelum ini, MPS mengeluarkan notis arahan mengosongkan lot kedai di pasar terbabit bagi memberi laluan kerja meroboh yang pada asalnya dijadualkan, pada 28 Januari ini.

Bagaimanapun tindakan itu mendapat bantahan Adun, 51 peniaga dan penduduk setempat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.