Categories
SELANGOR

SPRM puji usaha Selangor wujud Pejabat Integriti

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 APR: Reformasi Kerajaan Negeri melalui penubuhan Pejabat Integriti adalah langkah terpuji walaupun pentadbiran seperti itu berisiko tinggi wujudnya gejala berkenaan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Abu Kassim berkata, gejala itu berlaku di seluruh dunia dan antara contoh adalah Korea Selatan yang pernah menghadapi masalah rasuah terlalu tinggi.

integriti 1“Akibat reformasi yang jelas terutama aspek pengurusan telus menyebabkan Seoul berjaya meningkatkan integriti pengurusan dan mengatasi masalah berkenaan.

“Paling penting, mereka merangka pelan anti rasuah dan menjadi antara bandar raya pertama berjaya mengatasi keadaan kritikal itu selepas krisis ekonomi pada 1997 dan cemerlang pada masa ini,” katanya Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata,organisasi berkaitan perlu mempunyai dasarjelas bagi membantu pegawai terutama dalam penguatkuasaan undang-undang bagi menjayakan perancangan itu.

mark short sprm“Proses pengesanan iaitu sistem pengaduan yang baik perlu diwujudkan kerana mampu membantu rakyat menyalurkan kepada entiti diyakini. Ia perkara penting kerana keyakinan rakyat memudahkan segala urusan bersangkutan bagi mengatasi rasuah,” katanya.

Selain itu, katanya, pembinaan sahsiah pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan penting bagi menzahirkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang telus dan bertanggungjawab.

“Ia salah satu elemen penting dalam usaha memerangi rasuah yang sukar diatasi dalam masa singkat. Usaha Kerajaan Negeri amat dihargai kerana SPRM sendiri memegang prinsip siapa memerangi rasuah adalah sahabat dan yang terbabit dalam gejala ini musuh kita,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.