Categories
NASIONAL

MB: Najib perlu tegas tangani isu pelarian Rohingya

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan lebih proaktif berhubung krisis pelarian etnik Islam Rohingya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Najib selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) setidak-tidaknya membawa pendirian tegas berhubung perkara itu dalam parlimen yang bersidang hari ini.

rohing1“Sekurang-kurangnya ada satu usul khas yang dibawa untuk membincangkan isu Rohingya atas prinsip kemanusiaan. Kita tak boleh terus membiarkan mereka terkandas atas bot di tengah lautan dalam tempoh panjang kerana mampu menimbulkan banyak masalah.

“Sebagai Pengerusi Asean, Najib perlu melibatkan Malaysia untuk lebih fokus menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Invest Selangor Berhad di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Benama melaporkan Malaysia tidak boleh dibebani dengan ‘masalah’ pelarian Rohingya kerana ia adalah isu yang perlu ditangani secara bersama semua negara Asean.

Hampir 3,000 penduduk Islam Rohingya yang meninggalkan Myanmar dan warga Bangladesh terkandas di dalam bot tanpa sebarang bekalan makanan serta minuman selepas beberapa kerajaan menghalang mereka mendarat.

mb parlimen1Sebelum ini, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menyalahkan kerajaan Myanmar sebagai punca krisis pelarian etnik Islam Rohingya terkandas di laut untuk mencari perlindungan di negara lain.

Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Zeid Ra’ad Al Hussein dalam kenyataannya berkata, Myanmar seharusnya mengambil tanggungjawab penuh bagi menyelesaikan isu berkenaan yang kini merebak sehingga ke negara jiran termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Zeid turut mengingatkan kerajaan di Asia Tenggara mengambil langkah pantas melindungi golongan pendatang bagi mengelakkan berlaku kematian yang ramai dalam kalangan pelarian.

Beliau merujuk kepada tindakan kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand yang mengamalkan dasar mengusir bot pendatang daripada memasuki wilayah masing-masing.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.