Categories
SELANGOR

Peniaga Pasar Meru tertekan, tekanan air rendah hampir 10 tahun

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 28 MEI: Persatuan Pemilik Gerai Kompleks Pasar Meru, di sini, meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) segera menyesaikan masalah tekanan air rendah yang berlarutan hampir 10 tahun.

Penasihat persatuan, Datuk Patrick Lioh berkata, peniaga mengalami masalah bekalan air antara jam 4 pagi hingga 12 tengahari.

“Keadaan ini amat menyukarkan kerana kami membayar sewa air dan kadar itu juga sudah dinaikkan. Kami minta MPK dan Syabas membuat rondaan juga semakan serta membaiki segera jika ada kebocoran,” katanya.

IMG_7603Lioh turut menyerahkan surat aduan kepada Exco Kerajaan Tempatan Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah yang mengadakan lawatan tapak di pasar itu, hari ini.

Katanya, MPK perlu mencari formula bayaran bulanan lebih munasabah kerana terdapat peniaga tidak mendapat bekalan air memuaskan.

“Kami juga ingin meminta kelonggaran bayaran denda 10 peratus yang dikenakan MPK jika lewat membayar sewa bulanan.

“MPK memberi tempoh tujuh hari menjelaskan sewa gerai setiap bulan. Kami berpendapat polisi itu kurang sesuai kerana peniaga mengalami masalah aliran tunai dan mempunyai tanggungan lain.

“Kami mencadangkan tempoh dipanjangkan hingga dua bulan. Selepas itu, kelewatan denda hanya dikenakan lima peratus sahaja dan ia munasabah kerana peniaga memberikan tiga bulan deposit kepada MPK,” katanya.

Sementara itu, Ean Yong dalam reaksinya berkata, denda itu disifatkan munasabah demi memastikan peniaga berdisiplin dalam menjelaskan sewa bulanan.

IMG_7591“Denda bagi bayaran lewat perlu demi memastikan peniaga membayar sewa tepat pada masanya. Kalau tiada penalti (denda), mereka akan sambil lewa membuat bayaran,” katanya.

Pandangan sama turut dipersetujui dan disuarakan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPK, Long Shalawati Mohd Sahit pada sesi lawatan itu.

Katanya, peniaga tidak berhadapan masalah atau dikenakan denda jika mengikut peraturan disyaratkan kerana kadar sewa di pasar itu sekitar RM200 hingga RM400 sebulan.

“Kadar sewa pasar ini masih rendah, jadi tidak ada masalah untuk mereka bayar. MPK juga mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan persatuan peniaga dalam pertemuan ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.