Categories
SELANGOR

MB: LRA Langat 2 dapat sokongan Kerajaan Negeri

Oleh: HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 11 JUL: Kerajaan Negeri menyatakan sokongan terhadap projek pembangunan loji rawatan Langat 2 yang dijalankan dan memberikan kerjasama agar disiapkan mengikut jadual.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pembangunan bagi projek itu dipastikan mendapat kelulusan apabila memenuhi syarat ditetapkan.

MB berjumpa Muhyiddin Yassin tandatangan perjanjian tambahan air di Putrajaya (7)“Saya memberi jaminan bahawa pembangunan loji rawatan air Langat 2 mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri.

“Kita bersidang di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas Aidilfitri untuk melihat permohonan diterima dan apabila memenuhi syarat ditetapkan, kita tidak lagi ingin menangguhkan proses berkenaan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian tambahan kepada perjanjian utama penstrukturan semula industri bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, semalam.

Majlis itu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Loo Took Gee dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Khusrin Munawi dan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamed Azmin, barisan pengarah kementerian serta Exco Kerajaan Negeri dan hadirin.

Beliau berkata, semangat kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi penyelesaian isu itu adalah tinggi dan berharap ianya berterusan pada masa akan datang.

Katanya, Kerajaan Negeri memastikan segala keperluan dan permintaan mengenai penggunaan bekalan air kepada pengguna domestik dan industri mampu ditangani.

Ia dilakukan selepas proses pengambilalihan terhadap ketiga-tiga syarikat iaitu Puncak Niaga Holding Berhad (Puncak Niaga), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).

“Kita juga akan melihat keperluan air tanpa hasil (NRW) dapat ditangani dengan bijaksana kerana dengan pengurangannya, kita dapat menjimatkan penggunaan air bersih dan kita mahu kadar tarif dikenakan pada kadar munasabah,” katanya.

Menteri KeTTHA, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, perjanjian itu dimeterai kedua-dua pihak yang berusaha keras bagi menyelesaikan segala isu berbangkit selama ini.

“Ia adalah semangat kerjasama erat dan tolak ansur, saling memahami dan sutuasi menang-menang yang membolehkannya dimuktamadkan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.