Categories
NASIONAL

Muhyiddin redha dipecat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 28 JUL: Tan Sri Muhyiddin Yassin redha dengan keputusan pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) hari ini dengan hati terbuka.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memberi peluang kepadanya berkhidmat dengan jawatan itu, sejak 10 April 2009.

Muhyiddin juga akur dan menghormati kuasa prerogatif di tangan Najib untuk melantik serta menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

muhyiddin1“Sebagai TPM, saya terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar kerajaan dan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan penuh amanah. Selama berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

“Jika kerana pendirian dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berazam untuk terus setia kepada perjuangan Umno dan menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti dengan penuh amanah.

“Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dan mencurahkan khidmat bakti demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu juga rakyat kepada UMNO.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua jabatan, pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang menyokong saya sepanjang menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan rombakan kabinet menyaksikan Datuk Seri Zahid Hamidi naik menggantikan Muhyiddin.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.