Categories
SELANGOR

Sepuluh masjid laksana Modul Usrah Keluarga

Oleh: HAFIZAN TAIB

BERANANG, 9 JUL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melancarkan Modul Usrah Keluarga dalam usaha melahirkan keluarga bahagia berteras Al-Quran dan As Sunnah.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata usaha itu dilakukan bagi melestarikan masjid sebagai pusat utama aktiviti kemasyarakatan Islam di Selangor.

“JAIS melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga berganding bahu bersama beberapa masjid terpilih dalam melaksanakan aktiviti kekeluargaan.

pengarah jais a“Modul Usrah Keluarga dilancarkan sebagai usaha mendidik masyarakat ke arah keluarga bahagia berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Pada peringkat awal, modul ini akan dilaksanakan di 10 masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Kampung Sesapan Batu, Kampung Sesapan Batu Rembau, di sini, semalam.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Khusrin Munawi; Exco Kerajaan Negeri dan beberapa Exco Selangor.

Pada masa sama, Haris berkata, 16 masjid dipilih bagi menempatkan Fasilitator Pusat Khidmat, Sosial dan Komuniti bagi membantu pasangan yang mempunyai masalah serta konflik rumah tangga.

“Ini bagi memudahkan pasangan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat tanpa perlu bersusah payah hadir ke JAIS. Fasilitator dilantik adalah mereka yang memiliki kemahiran pengurusan kaunseling rumah tangga,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.