Categories
SELANGOR

TPM: Penstrukturan air jamin kelangsungan bekalan

Oleh: HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 11 JUL: Kerajaan Persekutuan berharap penstrukturan semula bekalan air di Lembah Klang mampu dimuktamadkan segera dengan komitmen semua pihak berkaitan demi menjamin kelangsungan bekalan air kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Isu-Isu Air Selangor, beliau menyambut baik langkah perjanjian tambahan kepada perjanjian utama penstrukturan bekalan air.

MB berjumpa Muhyiddin Yassin tandatangan perjanjian tambahan air di Putrajaya (5)“Saya bersyukur dengan perkembangan ini yang mana ia hadiah besar kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih-lebih lagi sempena Aidilfitri yang akan datang tidak lama lagi,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian tambahan kepada perjanjian utama penstrukturan semula industri bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya itu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Loo Took Gee dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Khusrin Munawi.

Ia disaksikan Muhyiddin, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin; barisan pengarah kementerian serta Exco Kerajaan Negeri dan hadirin.

Beliau berkata, dengan termeterainya perjanjian tambahan, pihak berkaitan mempunyai tempoh 60 hari untuk menyelesaikan CPs kepada perjanjian utama.

Katanya, apabila dipenuhi maka perjanjian utama dan jual beli saham Puncak Niaga Holding Berhad (Puncak Niaga) akan dikuatkuasa bagi membolehkan Air Selangor mengambilalih Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

“Saya berasa yakin Dato’ Menteri Besar akan mengotakan janji untuk memberi semua kelulusan diperlukan bagi meneruskan pelaksanaan projek logi rawatan air Langat 2.

“Walaupun mengalami kelewatan dan dijangka hanya dapat beroperasi sepenuhnya pada 2019, saya minta supaya semua pihak mencari jalan mempercepatkannya supaya loji itu boleh disiapkan lebih awal,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan berharap Kerajaan Negeri mempercepatkan kelulusan diperlukan kerana masalah bekalan air bukan setakat menjejaskan rakyat di Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi turut menyukarkan kehidupan rakyat di Selangor.

“Saya berharap rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedikit bersabar dengan masalah bekalan air sehingga tindakan jangka panjang untuk membina logi itu selesai,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.