Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM: Ikuti seruan Dr Al-Qaradawi bebaskan Anwar

Oleh: AMIDI ABD MANAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada surat terkini oleh ulama’ tersohor dunia Islam, Sahibus Samahah As-Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sesungguhnya surat hadir tepat pada saat dan ketika meruncingnya pelbagai krisis di negara ini.

11223496_616366515133295_7969681963350950309_nABIM menyokong penuh seruan Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, untuk membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari hukuman penjara yang sedang beliau jalani pada ketika ini.

ABIM menggesa agar seruan ini turut diikuti oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, selaras sepertimana yang diinginkan oleh Tokoh Maal Hijrah 2009 itu.

ABIM menilai gesaan ini mampu merungkai kekusutan politik yang dihadapi rakyat negara ini semenjak 1998. Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan insan yang banyak berjasa kepada umat Islam di negara ini serta peringkat antarabangsa.

Kesaksian Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi hanya merupakan sebahagian daripada pengiktirafan para ulama’ serta ilmuwan dunia Islam terhadap jasa serta peranan beliau.

Pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada pelbagai tuduhan liar serta kotor (yang meragukan) ini juga merupakan pintu yang dapat mengundang rahmat dan keberkatan ke atas negara ini.

Merujuk kepada surat beliau, ABIM menggesa agar amalan keterbukaan politik dapat dibudayakan di negara ini secara serius.

Ini kerana menurut Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi peranan pihak pembangkang adalah satu komponen penting dalam amalan demokrasi kerana ia merupakan teras keamanan yang mampu memelihara keutuhan serta kestabilan sesebuah negara.

Keterbukaan ini juga menurut beliau mampu mengelakkan generasi muda daripada terjebak ke aliran pemikiran yang melampau dan ekstrem.

Sesungguhnya seruan ulama’ tersohor (pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan penerapan amalan politik) terbuka ini sangat tepat pada saat dan ketikanya.

Seruan Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi ini merangkumi pelbagai hikmah berupa kebaikan dan kebaikan untuk negara ini sekiranya ia terjemahkan serta dipatuhi menjadi sebuah kenyataan.

* AMIDI ABD MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.