Categories
SELANGOR

Infaq Segenggam Beras semarak budaya merakyatkan kebajikan

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 OOGOS: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Tiga dengan kerjasama 44 surau dan masjid melancarkan program Infaq Segenggam Beras (ISB) sebagai pendekatan menyantuni dan membela nasib golongan kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Adunnya, Rodziah Ismail, berkata pendekatan itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan budaya merakyatkan kebajikan, bahkan menghidupkan institusi masjid dan surau dengan amalan infaq harta dalam kalangan ahli kariah.

“Setiap masjid dan surau perlu berperanan mengambil maklum kebajikan ahli kariah masing-masing kerana misi program ini adalah memasyarakatkan kebajikan.

IMG_5546“ISB juga membuka jalan kepada mereka yang memerlukan untuk mendapat pembelaan dan bantuan daripada terus meminta-minta kepada pihak lain.

“Mereka yang memerlukan bantuan hanya perlu tampil bertemu ahli jawatankuasa masjid atau surau di kariah masing-masing sementara latar belakang pemohon diambil untuk rekod bagi tujuan program bantuan susulan bersandarkan kepada keperluan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program ISB di Surau An-Najahiyah, Seksyen 19, di sini, pada 13 Ogos lalu.

IBS secara langsung membuka ruang kepada mereka yang berkemampuan untuk membudayakan amalan infaq harta dengan menyumbang barangan keperluan seperti beras, minyak masak, tepung dan biskut di masjid atau surau untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

IMG_5462Surau An- Najahiyah adalah surau pertama di DUN itu yang secara rasminya memulakan ISB sejak ia dirangka secara menyeluruh di semua masjid dan surau, pada Julai lalu.

“Selain itu, enam lagi surau sedang giat memulakan program ini. Pada awalnya, kita berhasrat infaq segenggam beras, namun di atas kemampuan ahli kariah, ia bertambah meriah dengan sumbangan lebih mewah.

“Bagaimanapun, kaedah saluran bantuan berbeza di setiap tempat. Ada hasil infaq dimasak kemudian diagihkan dan sebahagian lagi memberi terus barangan infaq kepada ahli kariah yang layak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengharapkan kaedah saluran bantuan dipermudahkan tanpa karenah birokrasi.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh masjid dan 37 surau serata DUN itu mendokong pelaksanaan ISB bagi menjayakan misi ‘Merakyatkan Kebajikan’ itu.

Pada majlis sama, Rodziah turut merasmikan mimbar kuliah baharu surau itu selain merailan lapan bakal jemaah haji yang dijangka bertolak ke tanah suci, pada 16 Ogos ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.