Categories
BERITA UTAMA

Rumah Puteri Arafiah sedia perlindungan, bimbing remaja hamil luar nikah

Oleh: NORHAYATI UMOR

MUNGKIN banyak mata melihat dengan pandangan negatif atas kesalahan yang pernah dilakukan remaja perempuan itu, namun tidak di Rumah Puteri Arafiah. Di rumah ini mereka menganggap remaja terbabit sebagai ‘puteri’ yang perlu dicorak semula menjadi seorang insan sempurna.

Umpama ‘tangan yang menarik ketika terjatuh’ atau ‘bahu yang menumpang untuk bersandar dan menangis’, Rumah Puteri Arafiah menerima hampir semua golongan dengan penuh kasih sayang di teratak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

23 pelatih menjadi penghuni bagi tempoh dua tahun proses pemulihan. Daripada kes lari rumah, ponteng sekolah, jenayah dan zina sehingga mengandung diterima di rumah itu.

Rumah Puteri ArafiahDiuruskan Norhayati Mohd Yussoff, ramai anak muda bawah 21 tahun hamil luar nikah dan melahirkan anak masing-masing di bawah jagaan rapi kakitangan rumah berkenaan.

Lebih mesra dipanggil ‘Umi’, beliau berkata, pelatih yang mengandung luar nikah akan dihantar untuk pemeriksaan bulanan sehingga ke proses bersalin di Hospital Sungai Buloh dan Jabatan Pendaftaran Negara seterusnya penyerahan kepada ibu bapa angkat.

Bagaimanapun, tugas yang digalas sejak pembukaan rumah perlindungan itu memang tidak mudah dilaksanakan. Berkongsi suka duka menjadi pengurus, tersimpan kisah yang sukar dilupakan sehingga menganggu hidupnya.

“Banyak suka duka yang dihadapi. Kita mendidik mereka, alhamdulillah berjaya. Namun, tiba proses menyerahkan anak pelatih kepada ibu bapa angkat, saya dipersalahkan. Ini menganggu saya. Saya tempat melepaskan kemarahan, ditengking dan dicaci di hadapan semua pelatih,” katanya.

Umi menceritakan, bukan mudah untuk menyerahkan bayi baru lahir kerana ia adalah proses paling menyedihkan. Walaupun lebih 20 kali, namun beliau tetap mengalirkan air mata.

“Terdapat satu kes, pelatih tidak mahu langsung anaknya termasuk untuk melihat. Tetapi selepas melahirkan, dia menyalahkan saya dan mahu anaknya balik sehingga sekarang. Walaupun dipersetujui pada awalnya kemudian dijelaskan, namun dia tetap berdegil.

IMG_5077“Dia juga menyalahkan saya akan perkara yang berlaku padanya dan saya lebih berhati-hati sejak kejadian itu. Kita faham perkara macam ini sangat sensitif,” katanya.

Kata Umi, semua yang datang ke teratak ini mempunyai kisahnya tersendiri dan mereka berusaha mencari kekuatan bagi meneruskan kehidupan dan dalam tempoh dua tahun kebanyakan pelatih berjaya dipulihkan.

Tiga penekanan diberikan antaranya akademik, kerohanian dan pembangunan diri bagi memberi semangat kepada pelatih untuk berhadapan dengan cabaran di luar.

“Kita sediakan guru bagi mengajar bahasa inggeris. Kita juga bagi peluang pelatih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian dan sediakan guru kelas tambahan bagi subjek yang diambil.

“Mereka turut dilatih dengan bimbingan agama Islam. Kita ajar mereka mengenal al-Quran dan dilatih berdisplin termasuk menjaga rumah ini daripada memasak hingga membersih,” katanya.

Walaupun ada dalam kalangan remaja itu sudah membawa haluan masing-masing, namun hubungan baik antara mereka masih diteruskan.

IMG_5072“Mereka masih menghubungi Umi untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan. Tiada apa yang Umi harap melainkan sentiasa mendoakan mereka belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya lagi,” ujar Umi dengan penuh harapan.

“Kita ada lebih 85 pelatih sebelum ini. Kebanyakan mereka sudah menyambung pelajaran di intitusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Ramai juga sudah berkahwin dan saya bersyukur mereka menjadi insan berguna. Tetapi, ada juga di antara mereka yang terjebak semula,” katanya.

Bagi Umi, golongan seperti itu perlu diberi peluang dan disayangi kerana mereka mampu menjadi insan yang lebih berjaya dengan sokongan orang terdekat dan masyarakat tanpa mengimbau kembali kesilapan yang pernah dilakukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.