Categories
SELANGOR

17 keluarga dihalau era BN dapat tanah ganti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 22 SEP: Selepas 15 tahun, akhirnya 17 keluarga di Kampung Baru Sungai Chua menarik nafas lega apabila tanah dan rumah yang dirampas dan dirobohkan pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2001 digantikan Kerajaan Negeri yang ada kini.

Exco Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata setiap mangsa diberikan sebidang tanah bagi membolehkan mangsa terlibat membina kediaman baru di kampung sama.

Ean Yong Hian Wah“Isu ini berlaku pada 2001 semasa Selangor masih ditadbir BN apabila mereka dipaksa menyerahkan tanah kediaman mereka dan rumah mereka dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan lebuh raya Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK).

“Selepas 2008 mereka cuba mohon lagi dan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar yang baru, Mohamed Azmin Ali, kita meluluskan permohonan mereka dengan satu syarat iaitu mereka perlu membina rumah dalam masa dua tahun,” kata Hian Wah selepas menyerahkan Borang 5A kepada 15 penerima di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Sungai Chua di sini, hari ini.

Jelas Hian Wah, selepas rumah penduduk terlibat dirobohkan, mereka pernah beberapa kali merayu supaya Kerajaan Negeri menggantikan sebidang tanah untuk dijadikan tapak baru kediaman masing-masing.

“Malangnya rayuan mereka tidak dihiraukan. Hari ini kita bantu dapatkan tanah baru dan Kerajaan Negeri berharap mereka dapat membina rumah dalam masa dua tahun.

“Biasanya mereka diberikan premium RM1,000 ini diberikan kepada mereka yang dah menetap di atas tanah terlibat, tetapi kes ini kes ini diberikan keistimewaan sebab mereka adalah mangsa yang tanahnya dirampas pada masa itu,” kata Hian Wah lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.