Categories
NASIONAL

DBKL salah alamat hantar notis kepada Bersih 2.0

SHAH ALAM, 5 SEP : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tersilap alamat ketika menghantar notis tuntutan bernilai RM65,000 kepada Penganjur Himpunan Aman Bersih 4.0.

Perkara itu mula disedari setelah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi twitternya menyatakan pegawai beliau telah menyerahkan bil pembersihan berkenaan ke pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya, semalam.

Namun, berdasarkan gambar di Twitter Abdul Rahman, pegawai terbabit tiba di tempat yang salah.

Ia bukan sahaja menarik perhatian ramai, malah status pemakluman itu bertukar menjadi jenaka.

“Hari ini pegawai saya pergi ke pejabat berdaftar Bersih untuk menyerahkan bil pembersihan RM65,000. Ia berkunci dan terbiar.

“Dan ini pejabat Bersih yang tak nampak bersih langsung,” katanya sambil melampirkan sekeping gambar premis berkenaan di Twitternya semalam.

Tweet Abdul RahmanPerkara itu disedari Aktivis Bersih 2.0, Zoe Randhawa yang kemudiannya membalas tweet Abdul Rahman.

“Salah rumah lah! Jangan hina pak cik yang duduk di sebelah rumah,” katanya.

Memetik laporan Malaysia Kini, Pengurus sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh kemudian memberikan nombor telefon pejabat mereka kepada Ahli Parlimen Kota Belud itu.

“Jika pegawai Abdul Rahman tak jumpa pejabat Bersih, tolong telefon. Saya boleh bantu pandu arah. Tolong jangan salah rumah lagi,” katanya.

Walaupun tidak membalas tweet berkenaan, Abdul Rahman menyatakan pegawainya akan menghantar bil berkenaan sekali lagi minggu depan.

“Kami akan cuba sekali lagi menghantar invois RM65,000 kepada Maria Chin Abdullah dan Bersih. #payup!,” katanya melalui akaun @mpkotabelud.

Abdul Rahman menuntut penganjur Bersih 4.0 membayar kos pembersihan sekitar tapak perhimpunan yang berlangsung selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu

Bil berkenaan, tidak termasuk kerugian akibat kerosakan harta awam sepanjang perhimpunan berlangsung.

Bagaimanapun Pengerusi Bersih 2.0 Maria berkata mereka tidak akan membuat bayaran berkenaan dan akan membawa kes itu ke mahkamah.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.