Categories
NASIONAL

JKJR: Lakukan sesuatu, bukan rakam video pemandu mengantuk

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 SEP: Tindakan pemandu merakamkan video memaparkan kenderaan di hadapannya dipercayai pemandunya mengantuk hingga menyebabkan berlanggar dengan lori dari arah bertentangan tidak sepatutnya berlaku.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Mohammad Fakhri Mansor berkata, sebaliknya pemandu itu sepatutnya prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

Tragedi depan rumah..

Posted by E-one Hafiy Haidar on Sunday, September 27, 2015

“Mengantuk memang sukar nak dikawal. Katakan semasa kita memandu di lebuh raya pada waktu lewat malam atau awal pagi dan kita nampak pemandu di hadapan kita dipandu ke tepi, ke tengah yang kita syaki pemandunya mengantuk.

JKJR“Apa yang kita boleh buat, kekalkan jarak selamat dan bunyikan hon kenderaan sekali atau dua sahaja untuk menyedarkan pemandu mengantuk itu.

“Tak perlu bunyikan hon terlalu banyak kali sebab kadang kala kita tidak tahu apa tindak balas spontan pemandu mengantuk tadi,” kata Mohammad Fakhri ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Katanya lagi, pengguna jalan raya juga boleh cuba memberikan isyarat lampu atau tangan bagi menyedarkan pemandu mengantuk terbabit.

“Kalau nak potong pun kena lebih berhati-hati sebab kita tak boleh jangka tindak balas spontan kenderaan dipandu individu mengantuk ini dan bila tengah potong itu cubalah tarik perhatian dia dengan memberi isyarat tangan dan sebagainya,” kata Mohammad Fakhri lagi.

Ketika menyentuh perbuatan membuat rakaman video semasa memandu, Mohammad Fakhri memberitahu tindakan itu merupakan kesalahan sekiranya tidak menggunakan alat bebas tangan kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.

Beliau juga mengingatkan agar pengguna jalan raya memastikan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan terutama melibatkan perjalanan jarak jauh.

“Kalau mengantuk juga, cari tempat sesuai seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk berehat atau tidur sebentar,” katanya lagi.

Sebelum itu, rakaman video berdurasi 1.18 minit tersebar di laman sosial facebook, seorang pemandu ‘berjaya’ merakam aksi sebuah kereta jenis Perodua Kancil di hadapannya dipercayai pemandunya sedang mengantuk.

Dalam rakaman tidak diketahui tarikh, masa dan lokasi kejadian itu menyaksikan pemandu terbabit meneruskan rakaman yang menyaksikan kereta Kancil di hadapannya itu dipandu ke kiri dan ke kanan hingga berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Beberapa saat sebelum perlanggaran berlaku, kedengaran suara seorang lelaki dipercayai pemandu yang merakamkan kejadian berkata “habis…” tatkala lori dari arah bertentangan itu semakin hampir.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.