Categories
BERITA UTAMA

Kemelut industri air selesai, bukti komitmen tinggi peduli rakyat

Oleh: NORHAYATI UMOR

LANGKAH jitu Kerajaan Negeri menyelesaikan kemelut industri air Selangor sejak 2009 membuktikan slogan ‘peduli rakyat’ yang diwar-warkan bukan hanya sekadar slogan tetapi dilaksanakan dengan penuh komited dan kesungguhan.

Ia dapat disaksikan dengan permeteraian perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), pada 8 September lalu.

Kejayaan menyusun semula industri perkhidmatan air juga dapat menyingkir ketidakcekapan operasi, teknikal dan kewangan di bawah model konsesi seperti peluang membuat keuntungan melampau mengikut peringkat.

MB air MOUKini, rakyat Selangor dan penduduk sekitar Lembah Klang boleh bersorak kerana mereka amat bernasib baik apabila tidak dibebani dengan sebarang kenaikan tarif air setiap tiga tahun seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan terdahulu dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Masakan tidak! Jika tiada penolakan Kerajaan Negeri tentu pengguna perlu membayar 82 peratus iaitu 37 peratus pada 2009 selain 25 peratus pada 2012 dan tahun ini.

Bebanan rakyat juga dikurangkan melalui program pemberian air percuma 20 meter padu yang akan terus dilaksanakan seperti diutarakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.

Kerajaan Negeri juga mahu mengurangkan air tidak berhasil (NRW) dan menyasarkan pengurangan NRW pada kadar sekurang-kurangnya dua peratus setiap tahun berbanding kira-kira 34 peratus ketika ini.

Ini bermakna Selangor akan mengurangkan kehilangan fizikal dan komersial hampir 100mld setahun, sekali gus meningkatkan keupayaan bekalan air bersih dengan ketara.

projek air 4Melalui penstrukturan semula itu, Air Selangor akan mengambil alih operasi rawatan dan pengagihan daripada syarikat konsesi sedia ada.

Kawalan secara langsung dapat diberi kepada Air Selangor memandangkan ia syarikat milik Kerajaan Negeri. Ditambah pula pengawasan dan pengawalan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), maka pemantauan prestasi Air Selangor dapat dibuat lebih berkesan.

Struktur baru ini dapat mewujudkan perkhidmatan air yang mampan berpandukan kepada pendekatan holistik seterusnya mendorong pengurusan perkhidmatan air menjadi berdaya maju serta pengurusan kitaran air yang lebih cekap.

Kos operasi juga dikurangkan kerana operator tidak bermatlamat keuntungan. Dengan ini, kualiti air yang baik dapat dikekalkan kepada pengguna.

Dalam erti kata mudah, bekalan air tidak lagi ‘putus-putus’ atau ‘tiada air’ termasuk catuan.

Apabila mengenangkan Lembah Klang pernah mengalami krisis bekalan air yang teruk sehingga menyebabkan catuan air dilaksanakan tahun lalu, sudah tentu penduduk merasa sangat ‘cuak’.

“Sebagai pengguna bekalan air di negeri ini, sudah tentu saya gembira dengan manfaat yang akan diterima nanti seperti yang dijanjikan Kerajaan Negeri antaranya program air percuma secara berterusan,” kata guru, Nor Najihah Nordin, 37.

Manakala, suri rumah, Yusidah Mohamad, 35, berpendapat penstrukturan itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan air di negeri Selangor.

“Insya Allah, mungkin selepas ini tiada lagi krisis bekalan air. Jika dibaca rancangan yang diutarakan Kerajaan Negeri, saya sangat yakin Selangor tiada masalah air,” katanya.

Melalui struktur baru, Air Selangor akan beroperasi secara aset ‘light’ iaitu pembiayaan ke atas perbelanjaan modal (CAPeX) akan dibuat PAAB.

Air Selangor akan menumpu perhatian penuh kepada peningkatan tahap kecekapan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan air.

Mengimbas masa lalu

MB berjumpa Muhyiddin Yassin tandatangan perjanjian tambahan air di Putrajaya (13)Empat syarikat yang akan diambil alih ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

Mengikut beberapa kontrak penswastaan pada 1997, syarikat terbabit diberi kuasa mengurus rawatan air dan pengagihannya di Selangor.

Apabila Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil alih Selangor pada 2008, Kerajaan Negeri mendapati syarikat berkenaan tidak memainkan peranan sewajarnya tetapi hanya mahu mengaut keuntungan melalui kenaikan tarif air dan pengurusan yang kucar-kacir.

Melihat situasi yang berlaku, Pakatan di Selangor berpandangan mereka perlu mendapatkan semula kuasa daripada syarikat swasta melalui penstrukturan semula itu bagi memenuhi janji urus tadbir yang baik.

Lihat sahaja di Pulau Pinang, kuasa menentukan kadar tarif air di negeri itu dapat ditentukan rakyat negeri itu sendiri.

Malah, pengguna domestik dikenakan surcaj air sebagai hukuman jika melakukan pembaziran memandangkan Pulau Pinang mengalami penggunaan paling tinggi di Malaysia iaitu 286 liter seorang sehari.

Hakikatnya, penyelesaian isu air ini dijangka mampu mengubah lanskap penswastaan air di negeri terkaya dan berpopulasi tinggi di Malaysia itu.

Kemampuan Mohamed Azmin sebagai peneraju utama negeri kaya itu harus dipuji kerana kemampuan menyelesaikan kemelut rakyat. Dengan selesainya isu air, keyakinan penduduk terhadap Mohamed Azmin bertambah.

Selepas ini, pembangkang perlu mencari modal lain untuk mengganggu Mohamed Azmin selepas isu air juga Lebuhraya Damansara-Kinrara (Kidex) dan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) juga berjaya diselesaikan beliau dengan cemerlang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.