Categories
SELANGOR

Lumba haram: Jangan hanya tahu merungut, lapor terus pada polis

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 SEP: Pengguna jalan raya disaran lebih bertanggungjawab dengan segera menghubungi pihak berwajib sekiranya terserempak aktiviti perlumbaan haram.

Ini berikutan tindakan menghubungi pihak berwajib dengan segera, kejadian buruk seperti kemalangan melibatkan enam motorsikal pelumba haram dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuh Raya Shah Alam (Lebuh Raya KESAS) mungkin dapat dielakkan.

exora-mat-rempit-kesas-ed-630x448Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Mohammad Fakhri Mansor berkata, sebaliknya kebanyakkan pengguna jalan raya lebih gemar merungut atau tidak ambil kisah melihat aktiviti perlumbaan haram dijalankan.

“Tidak mungkin pihak keselamatan selama 24 jam hanya pantau satu lokasi panas sahaja sebab mereka juga perlu jalankan tugas keselamatan di kawasan lain juga.

“Orang ramai perlu mainkan peranan atasi isu ini dengan melaporkan kepada pihak polis segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Tetapi apa yang berlaku mereka tak ambil kisah kerana anggap tiada kena mengena dengan mereka atau ahli keluarga mereka,” kata Mohammad Fakhri kepada Selangor Kini.

Dalam kejadian kemalangan di Lebuh Raya KESAS yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini, dianggarkan lebih 100 penunggang motorsikal berkumpul di tepi lebuh raya hingga hampir menutup lorong paling kiri bagi menyaksikan pertarungan perlumbaan haram.

Ketika perlumbaan haram itu dijalankan, terdapat ramai pengguna lebuh raya yang melalui kawasan itu yang sudah tentu menyedari aktiviti haram itu dijalankan.

Bagaimanapun dalam ramai pengguna lebuhraya melalui kawasan itu, dipercayai tidak terdapat seorang pun di kalangan mereka menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya.

Perlumbaan itu akhirnya berakhir dengan kemalangan apabila salah sebuah motorsikal yang sedang berlumba itu bergesel dengan salah sebuah MPV Proton Exora.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat dalam kenyataannya berkata, sekurang-kurang seorang tercedera dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Selasa itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.