Categories
SELANGOR

Mahkamah Persekutuan kekalkan sabitan salah Khir Toyo

PUTRAJAYA 22 SEP: Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah serta sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lapan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama-sama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali sebulat suara menolak rayuan Dr Mohamad Khir, 50.

Khir12BH Online melaporkan melalui penghakiman dibacakan Kok Wha, panel mencapai keputusan itu berdasarkan beberapa alasan antaranya pertuduhan yang dibuat ke atas Dr Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang kecacatan dan beliau selaku menteri besar, adalah seorang penjawat awam ketika kesalahan itu dilakukan.

Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Leave a Reply

Your email address will not be published.