Categories
SELANGOR

SUKSES 2015 tampil lima sukan baharu, lebih mencabar

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 SEP: Sukan Selangor (Sukses) 2015 menghadirkan saingan lebih mencabar kepada atlet dengan pertambahan lima acara sukan baharu dalam kejohanan kali ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata dengan perubahan itu turut menyaksikan pertambahan jumlah atlet yang bertanding dalam temasya, bermula 3 hingga 20 September ini.

PC YB Amir SUKSES 2015 (3)“Tahun lalu kita pertandingkan lapan acara, manakala kali ini ia bertambah kepada 13 acara.

“Sudah pasti saingan lebih memcabar dan bukan itu sahaja, saya menjangkakan ia akan lebih mencabar untuk tahun mendatang kerana pada masa ini kita sedang mengukuhkan fungsi Majlis Sukan Daerah (MSD),” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Lima acara baharu ialah taekwondo, pencak silat, karate-do, bola tampar dan tenpin bowling, manakala Sukses 2015 dijalankan di semua daerah mengikut acara sukan dipertandingkan.

Amirudin berkata, pendekatan itu diambil kerana setiap daerah dipertanggungjawabkan mengendalikan program pembangunan sukan dan menjadi pusat latihan.

PC YB Amir SUKSES 2015 (7)“Kita babitkan semua daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana sudah menjadi dasar kita beberapa tahun kebelakangan ini membabitkan penyertaan PBT dalam program sukan.

“Sebagai contoh, badminton di Petaling Jaya dan memang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dilantik sebagai pusat latihan badminton. Pada masa sama, ketika Sukan Malaysia (Sukma) akan datang, MBPJ akan menjadi bapa angkat kepada sukan badminton,” katanya.

Katanya, objektif Sukses adalah untuk menggalakkan usaha pembangunan sukan di peringkat akar umbi setiap daerah dengan menyediakan kejohanan dwi-tahunan sebagai kayu pengukur kepada atlet yang menjalani latihan sepanjang tahun.

Sukses 2015 kali ini menghimpunkan 3,177 peserta iaitu 2,709 atlet dan 468 pegawai menawarkan 602 pingat dengan pingat terbesar daripada olahraga iaitu 37.

Temasya sukan itu menjadi pentas untuk atlet muda Selangor mempamerkan kebolehan bagi pemilihan ke Sukma dan kejohanan lain.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.