Categories
NASIONAL

Anwar antara 500 Muslim berpengaruh dunia

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 OKT: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh dunia melalui keluaran terbaru The Muslim 500; The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2016.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu tersenarai melalui kategori Pemimpin Terhormat (Honourable Mentions) dan termasuk dalam kategori itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Putera Zeid Raud Al Hussein serta Ketua Hamas, Ismail Haniyah.

Anwar juga tersenarai melalui kategori politik, yang turut menyenaraikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Yang DiPertuan Agong, DYMM Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

imageSelain Anwar, pemimpin pembangkang lain yang turut tersenarai kali ini adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui kategori pendakwah dan pembimbing rohani.

Seorang lagi tokoh PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tersenarai dalam segmen khas ‘belasungkawa’ sebagai penghormatan akhir peringkat antarabangsa sebaris dengan tokoh Islam lain seperti Dr Wahbah Al-Zuhaili, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud dan Dr APJ Abdul Kalam.

Turut tersenarai dalam edisi 2016 adalah Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Dr Osman Bakar, Prof Mohammad Hashim Kamali (kategori ilmuwan), Dato Dr. Mashitah Ibrahim dan Sheikh Dr Mahmoud Mr Glani (pendakwah dan pembimbing rohani).

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga diiktiraf melalui kategori dermawan, kebajikan dan pembangunan, Zainah Anwar (isu masyarakat), Tan Sri Muhammad Ali Hashim (perniagaan), Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor (sains dan teknologi), Hafiz Hamidun, Kumpulan Raihan dan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (kesenian dan kebudayaan).

Edisi The Muslim 500; The World’s 500 Most Influential Muslims diterbitkan Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam iaitu sebuah badan kajian bebas yang bergabung dengan Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt di Amman, Jordan.

Laporan dikeluarkan setiap tahun dengan kerjasama Pusat Persefahaman Islam – Kristian Putera Al-Waleed Talal di Universiti Georgetown.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.