Categories
SELANGOR

Belanjawan 2016: KBS patut pastikan tiada pilih kasih agih peruntukan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OKT: Peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2016 diharapkan dapat disalurkan tanpa pilih kasih aliran politik antara Kerajaan Negeri yang berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata hal itu kerana sukan patut melewati persoalan politik dengan semua pihak perlu diberikan hak sepatutnya.

SukanKatanya, perkara ketidakadilan dan penyisihan sebagaimana dilakukan oleh menteri sebelum ini, diharapkan tidak berlaku kepada Kerajaan Selangor.

“Peruntukan untuk sukan, saya rasa cukup cuma isunya bagaimana menangani dan membentuk dasar itu.

“Sukan melewati persoalan politik, dipihak kita ianya tiada masalah cuma kita tidak mahu penyisihan berlaku seperti yang dilakukan menteri sebelum ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri mengalukan kerjasama dengan KBS dalam usaha pembangunan atlet di semua peringkat.

“Baru-baru ini, saya berjumpa dengan Menteri berkenaan bagi menyuarakan isu ini dan saya menyahut baik kerjasama untuk membantu kita.

“Sukan memerlukan kerjasama semua pihak sepenuhnya untuk membangunkan atlet,” katanya.

Beliau berkata dengan kerjasama itu nanti dapat membantu persediaan pasukan Malaysia yang berkualiti termasuk bola sepak.

“Yang paling penting, kita tidak ketandusan bakat. Kita perlu fikirkan bagaimana untuk menyusun semula dengan kerjasama ini.

“Malah, kita perlu kurangkan prasangka di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam Belanjawan 2016 mengumumkan peruntukan sebanyak RM930 juta untuk KBS.

Peruntukan sebanyak RM145 juta diberikan bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi cabaran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan 2017 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.