Categories
KENYATAAN MEDIA

Bersih 2.0 lancar kempen ‘Undi Tidak Percaya’ Najib

Pasca perhimpunan aman Bersih 4, rakyat Malaysia tidak boleh terus berdiam diri. Justeru, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berbesar hati melancarkan kempen ‘Undi Tidak Percaya’ terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kempen ini akan dijalankan secara atas-talian melalui laman web DearYb.my dan juga kempen poskad khas yang telah kami sediakan untuk dihantar kepada Ahli-ahli Parlimen masing-masing.

Undi tak percayaMesej jelas yang disampaikan melalui kedua-dua saluran ini ialah supaya para Ahli Parlimen bersetuju untuk menyokong usul undi tidak percaya, atau apa sahaja usul yang bermaksud serupa bagi menggugat pegangan majoriti oleh Najib Razak.

Ini berikutan keengganan Najib Razak untuk memberi penjelasan dengan tulus ikhlas berkenaan skandal aliran tunai RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya yang didakwa telah digunakan untuk kempen Pilihanraya Umum ke-13, selain penjelasan mengenai skandal RM42 bilion syarikat bermasalah negara, 1MDB.

BERSIH 2.0 tidak akan berhenti daripada mendesak orang ramai supaya menuntut wakil-wakil mereka di Parlimen untuk menyatakan rasa tidak percaya mereka terhadap Najib Razak.

Sekiranya tidak wujud mekanisme untuk menjalankan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sebagaimana yang didakwa oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; BERSIH 2.0 menggesa Najib Razak untuk melaksanakan undi percaya sekiranya beliau benar-benar yakin memiliki kepercayaan majoriti anggota-anggota Yang Berhormat di Parlimen.

BERSIH 2.0 berharap kempen kecil kami ini akan memulakan riak-riak yang bakal bertukar menjadi gelombang yang akan membawa perubahan dan penambahbaikan institusi yang kita semua harap-harapkan.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0,

Leave a Reply

Your email address will not be published.