Categories
NASIONAL

FOMCA: Semak perjanjian konsesi, jangan terus bebani rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengesyorkan Kerajaan Persekutuan menyemak semula perjanjian konsesi lebuh raya bagi mengelakkan kenaikan kadar tol berterusan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata semakan perlu dibuat terhadap konsesi yang sudah memperoleh keuntungan hasil pembinaan lebuh raya bagi mengelakkan rakyat terus rugi membayar kadar kenaikan.

FOMCA“Kita masih berharap perjanjian konsesi disemak semula untuk melihat sama ada wajar atau tidak ia dinaikkan terutama bagi lebuh raya yang sudah mendapat semula pulangan pelaburan.

“Ada lebuhraya yang sudah selesai, justeru semakan perlu dibuat dan kenaikan kadar tol tidak harus berlaku,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi jika kadar tol tidak dinaikkan seperti termaktub dalam perjanjian.

Katanya, terdapat beberapa lebuh raya yang tidak diselenggara secara besar-besaran seperti dilakukan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan lebih menjurus kepada pulangan untuk pemegang saham berdasarkan pemerhatian umum.

Walaupun kenaikan kadar tol sudah menjadi isu biasa kepada rakyat namun tetap memberikan kesan terhadap perbelanjaan harian mereka.

plaza tolSekurang-kurangnya, lima lebuh raya bakal berhadapan kenaikan tol bermula 15 Oktober ini dengan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur mengumumkan kenaikan tol antara 30 sen dan RM1 di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Kadar tol di Lebuhraya Maju (MEX) juga akan naik antara 20 sen dan RM3 menurut syarikat konsesi Maju Expressway Sdn Bhd, manakala Aneh Berhad pula menyatakan kadar bayaran di Plaza Tol Gombak dan Bentong juga Lebuhraya KLK naik antara 30 sen dan RM3.

Sementara itu, kadar tol Lebuhraya Kajang-Silk dijangka naik antara 40 sen dan RM2.40, manakala kadar bayaran di terowong SMART naik kepada RM3.

Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), kadar baru yang akan dikenakan RM2.50 di plaza tol Ijok, Kuang Timur, Kuang Barat, Templer dan RM1.30 bagi Kundang Timur, Kundang Barat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.