Categories
SELANGOR

Jerebu: Piala Sultan Selangor batal, IPU Shah Alam 137

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 OKT: Perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2015 yang dijadualkan di Stadium Shah Alam malam ini dibatalkan ekoran jerebu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata keputusan pembatalan itu dibuat keprihatinan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Atas keprihatinan Tuanku, Piala Sultan Selangor dibatalkan ekoran jerebu yang melanda ketika ini,” katanya kepada pemberita.

Piala-Sultan-Selangor-Logo_WebsiteSetakat jam 4 petang tadi, Shah Alam mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 137.

Pertandingan Piala Sultan Selangor yang memasuki edisi ke-14 bermula dengan aksi veteran Selangor dan veteran Singapura pada jam 8 malam diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura pada jam 9 malam.

Untuk rekod, Pilihan Selangor muncul juara tujuh kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014 manakala Pilihan Singapura pula muncul juara sebanyak lima kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.

Kedua-dua pasukan muncul juara bersama pada edisi 2004 di Stadium Nasional Kallang, Singapura selepas perlawanan berkesudahan 2-2.

Piala Sultan Selangor diilhamkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Baginda Sultan juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak 2001 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Pemangku Raja Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.