Categories
BERITA UTAMA

Jika tak bersalah, jangan campur siasatan- persoalan yang hanya Najib boleh menjawabnya

Oleh: Shahbudin Husin

Muhyiddin Yassin menghangatkan kembali isu 1MDB dengan terus melontarkan persoalan yang sebenarnya hanya mampu dijawab oleh Najib Razak sendiri – kenapa campur dalam siasatan?

Berucap dalam program Bicara Minda – Berani Kerana Benar di Johor Bahru semalam, selain membangkitkan perkara tentang 1MDB seperti pinjaman RM3 bilion yang mahu dipohon, menerima pinjaman RM2 bilion daripada usahawan Ananda Krishnan dan sebagainya, beliau turut menyatakan proses siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik itu tidak seharusnya diganggu jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Katanya, orang ramai hanya ingin melihat siasatan terhadap syarikat itu berjalan dan kemudian mengetahui hasilnya.

Najib-1MDBRakyat hanya mahu proses siasatan dijalankan. Jangan campur, yang rakyat nak tahu apa hasilnya. Kalau tak bersalah, tak bersalahlah. Jika bersalah, kita hukum, tambah beliau lagi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya mengingatkan bahawa yang hak akan timbul, manakala yang batil tetap akan tenggelam lambat launnya.

Apa yang dibangkitkan oleh Muhyiddin ini tentunya mengenai apa yang berlaku tempoh hari ketika proses siasatan terhadap 1MDB sedang berjalan yang antaranya, pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, gangguan dan pertukaran serta merta beberapa pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, pasukan petugas khas tidak lagi berfungsi dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC “dilumpuhkan” dengan empat anggotanya dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan.

Semua orang yang berfikiran sihat, waras serta masih dapat membezakan antara putih dengan hitam, tentu saja melihat semua tindakan itu berupa campurtangan atau gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan, lebih-lebih sebelum itu beberapa tangkapan dan serbuan terhadap beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan, sudah pun dilakukan oleh SPRM.

Antaranya yang kena tahan itu ialah Dr Shamsul Anwar Sulaiman, ECO Ihsan Perdana, sebuah anak syarikat 1MDB serta seorang despatch.

logo SPRMNamun, selepas semua campurtangan itu, kita bukan saja tidak mendengar lagi pasukan petugas khas bermesyuarat, bahkan apa jadi kepada beberapa individu yang pernah ditangkap juga tiada khabar beritanya. Semuanya senyap belaka.

Najib pula tidak pernah membuka mulut mengenai kewajaran semua tindakan itu diambil. Kenapa beliau masih diam, adakah kerana tiada jawapan atau masih memerlukan masa lagi untuk mengolah jawapannya yang sesuai?

Mengenai Gani Patail yang dilaporkan disingkirkan kerana masalah kesihatan, hanya Tun Mahathir yang kerap mempersoalkannya dengan beberapa hari sebelum ini menanyakan kepada kerajaan agar menunjukkan sijil sakit bekas Peguam Negara itu.

Namun, sehingga hari masih juga tiada sesiapa mampu memberi jawapan mengenainya.

najib muhyiddin putrajayaKini, dengan Muhyiddin sendiri sudah secara terbuka mengatakan, “kalau tak bersalah, jangan campur dalam siasatan”, Najib juga secara “gentlemannya” tiada lagi pilihan selain memberi respon dan jawapan kepada persoalan itu.

Jika tidak dijawab atau diberi penjelasan, selagi itulah keraguan akan terus membuak-buak, sekaligus membentuk persepsi buruk terhadap dirinya.

Hanya Najib yang mampu dan sesuai memberi jawapan kepada persoalan itu kerana beliau yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB yang sedang disiasat itu.

Bukan Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara atau sesiapa yang lainnya perlu campurtangan menjawab persoalan tersebut.

Jika terus dibiarkan tidak dijawab, campurtangan sebagaimana yang digambarkan Muhyiddin itu akan dilihat hanya untuk menutup kesalahan atau mengesahkan memang ada kesalahan yang cuba dilindungi.

Meskipun siasatan dikatakan masih berjalan, ia barangkali tidak sama lagi dibawah Peguam Negara serta Pengerusi PAC yang baru.

Dari segi tanggungjawab moral sebagai pemimpin, Najib pada hakikatnya “tidak jantan” jika sepanjang masa hanya pandai melarikan diri, diam membisu dan tidak menjawab mengenai perkara itu, apatah lagi setelah orang nombor duanya sendiri dalam UMNO mempersoalkannya secara terbuka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.