Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 20 OKT: Lim Guan Eng (Bagan-DAP) terkejut apabila mendapati beberapa soalan berkaitan skandal 1MDB di Parlimen hanya dijawab pada suatu tarikh tidak dinyatakan.
Guan Eng, berkata menurut amalan di Parlimen, semua soalan yang tidak ditolak perlu dijawab sama ada secara lisan atau pun bertulis dengan kadar segera.
“Jawapan yang saya terima, jawapan diberikan pada tarikh diberitahu kemudian apabila jawapan diberikan secara serentak.
“Apabila kita tujukan satu soalan, jawapan mesti diberikan tetapi sekiranya tidak boleh dijawab secara lisan kena beri secara bertulis, sebaliknya ini permainan melengahkan jawapan pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Guan Eng dalam sidang medianya di lobi Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Jelas Guan Eng, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengutamakan isu 1MDB kerana membabitkan kepentingan ekonomi dan mendapat perhatian rakyat sejak kebelakangan ini.
Katanya tindakan melengah-lengahkan jawapan itu tidak menghormati Parlimen sebagai institusi tertinggi dalam Perlembagaan dan membelakangkan konvensyen Parlimen itu sendiri.
EZY