Categories
SELANGOR

Kursus kemahiran percuma bantu rakyat jana pendapatan

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Program kursus jangka pendek anjuran Kerajaan Negeri diyakini mampu membantu rakyat negeri ini mendepani cabaran ekonomi yang semakin sakit.

Penjawat awam, Razali Rejab, 47, berkata dengan adanya kursus yang diberikan secara percuma itu, rakyat kini mempunyai pilihan lain untuk menambah pendapatan.

Peserta Kursus“Gaji sedia ada memang tidak cukup, apalagi dalam keadaan taraf hidup tinggi sekarang.

“Kursus ini dapat persiapkan diri kita untuk menghadapi realiti terutama bagi ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab besar,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Beliau merupakan salah seorang peserta kursus jangka pendek dalam bidang bengkel motosikal yang dijalankan pada 3 dan 4 Oktober lalu di Kolej Antarabangsa Inpens di sini.

Berkongsi pendapat sama, ibu tunggal kepada tiga anak dari Meru, Norizan Jamaluddin, 46, berkata kursus jahitan yang diikutinya banyak membantu beliau mempelajari teknik jahitan langsir yang betul.

“Diharap kursus sebegini dapat diadakan lebih kerap untuk memberi pendedahan kepada perniaga kecil seperti kami menambah pendapatan,” kata suri rumah itu

Peserta Kursus 1Sementara itu, Muhammad Taib Abdul Talib, 39, turut berharap agar kursus bidang tertentu seperti bengkel dapat diadakan dalam jangka masa lebih panjang.

“Dua hari tidak cukup, terutama perkara melibatkan enjin seperti motor ini. Perlu kursus bulanan setiap hujung minggu untuk peserta mahir.

“Saya pasti ramai peserta menyambut baik cadangan ini,” kata pekerja kilang dari Bandar Baru Bangi itu.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.