Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pakatan Harapan dalam Belanjawan Alternatifnya mencadangkan Subsidi Harga Beras (RPS) dihapuskan kerana penerima faedah terbesar skim itu adalah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan bukannya pesawah atau pengguna terbanyak.
Hakikatnya, pengilang dibayar subsidi yang besar untuk menghasilkan beras berkualiti rendah iaitu Super Tempatan ST15 dengan 15 peratus kandungan beras hancur tetapi sukar didapati di pasaran dan tidak sampai ke golongan sasaran.
Selain itu, golongan sasaran juga lebih rela membeli beras gred tidak melebihi 5 peratus hancur kerana ST15 mempunyai kualiti sangat rendah.
Maka, tidak mengejutkan Ketua Audit Negara dalam laporannya menyatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan BERNAS gagal menyediakan mekamisma menyalurkan manfaat subsidi itu kepada kumpulan sasaran.
Justeru, Pakatan Harapan dalam rancangan Pembaharuan Dasar Beras itu mencadangkan subsidi di bawah Skim Subsidi Harga Beras (PPS) sebanyak RM480 juta tahun ini ditingkatkan sebanyak 50 peratus untuk membayar insentif secara terus kepada pesawah.
Rancangan itu membolehkan 300,000 pesawah menerima manfaat dengan bayaran tambahan sebanyak RM380 setiap tan metrik padi yang dihasilkan.
-nR-