Oleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 13 OKT: Keputusan Kerajaan Persekutuan menaikan kadar tol di 11 lebuh raya bermula Khamis ini disifatkan sebagai menindas rakyat yang sedia terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Jestin Raj Savarimuthu, berkata keputusan itu juga mengkhianati Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu.
Katanya, manifesto untuk tidak menaikan kadar tol itu hanya tinggal janji apabila kadar tol yang bakal dinaikan nanti adalah tertinggi sehingga mencecah 80 peratus.
“Kenaikan ini memberi impak yang amat besar kepada Rakyat, khususnya warga Selangor. Hal itu kerana kebanyakan kadar tol dinaikkan adalah di dalam Negeri Selangor dan Lembah Klang.
“Semua perkara asas dari GST, harga barang, tol dan sekarang kemerosotan nilai mata wang membuat rakyat dalam keadaan yang parah.
“Kita boleh menjangka dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri pada hujung bulan ini akan memberi bantuan yang hanya sementara bagi rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Kenaikan kadar tol kali ini mendapat tentang hebat daripada pelbagai pihak apabila kadar kenaikannya melampau sehingga 80 peratus seperti SILK, 67 peratus (Akleh), 54 peratus (Besraya), 50 peratus (LKSA) dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17 hingga 44 peratus.
Sementara itu, Ketua Srikandi PKR, Senator Siti Aishah Shaik Ismail, berkata Kerajaan Persekutuan tidak menghiraukan soal kemanusiaan tetapi hanya memikirkan bagaimana poket rakyat diperah.
“Inilah sikap sebenar BN, saat rakyat terhimpit dengan kos kehidupan yang semakin tenat mereka bukan mempermudahkan rakyat namun bertindak sebaliknya.
“Keluhan rakyat soal ekonomi yang tidak menentu dan ditambah dengan sikap kerajaan yang sentiasa boros dalam urus tadbir seakan-akan tidak dipedulikan oleh mereka.
“Kepada pemimpin BN yang masih ada nilai kemanusiaan berhenti bersikap pura-pura dan bersuaralah untuk rakyat agar beban ini tidak terus menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh rakyat,” katanya.
Perkara sama turut dikongsi Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil selain menyifatkan Kerajaan Persekutuan tidak sensitif terhadap realiti yang dihadapi rakyat biasa.
“Umum cukup terkejut dengan keputusan kerajaan ini, lebih-lebih lagi di kala suasana ekonomi muram, nilai mata wang ringgit lemah, pelbagai isu dan skandal kewangan membelenggu negara serta hutang menggunung.
“Peningkatan kadar tol ini sudah pasti menyebabkan harga barang meningkat dan membebankan rakyat. Kerajaan perlu menghentikan rancangan menaikkan kadar tol Khamis ini,” katanya.
Selain itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin, berkata tekanan kewangan rakyat ketika ini semakin menekan dan golongan berpendapatan rendah khususnya anak muda akan menerima kesan paling teruk.
“Jusitfikasi Kementerian Kerja Raya kenaikan ini bagi menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada membayar konsesi, menunjukkan Datuk Seri Najib Razak dan kabinet beliau gagal mengurus perbelanjaan kerajaan sehingga terpaksa menarik balik subsidi rakyat dan akhirnya membebankan rakyat,” katanya.
-NR-