Categories
NASIONAL

Banjir: 349 dipindah di Baling

BALING 7 NOV: Seramai 349 daripada 87 keluarga di 10 kampung sekitar Baling dipindahkan ke enam pusat pemindahan akibat banjir, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling.

Pegawai JKM Daerah, Syamsul Izrin Isahak berkata kesemua mangsa itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan sejak malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air.

“Kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Batu 48, Kompleks Belia dan Sukan Batu 42, Dewan Banggol Derum, Tadika Gua Reban, Dewan Charuk Syikin dan Dewan Kampung Jenalik,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata 10 kampung yang terjejas antaranya ialah Kampung Chenderai, Kampung Batu 8, Kampung Lahar, Kampung Banggol Derum, Kampung Tanjung Merbok dan Kampung Jenalik.

Katanya JKM Baling menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa terlibat di pusat-pusat pemindahan termasuk makanan dan minuman, tikar serta tilam.

Penguasa Bomba Daerah Mohd Naim Mat Jaafar pula berkata, penduduk terbabit mula dipindahkan ke pusat pemindahan mulai kira-kira pukul 9 malam semalam.

Operasi malam tadi katanya, turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan JKM Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.