Categories
SELANGOR

Battle Of The Band gegar Selangor rancakkan seni

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 16 NOV: Aktiviti seni di Selangor terus dirancakkan lagi pada 2016 apabila Kerajaan Negeri merancang mengadakan pertandingan ‘Battle Of The Band’ dengan melibatkan pelbagai peringkat.

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata program itu diadakan ekoran terdapat permintaan tinggi.

SeniKatanya pertandingan itu dijangka mampu menarik minat kumpulan belia berkecimpung dalam dunia muzik itu diteruskan pada tahun hadapan.

“Kita merancang membuat program seumpama ini di peringkat majlis atau peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita buat satu lagi di peringkat Selangor seperti mana Liga Sukan Selangor Plus, kita buat juga untuk seni.

“Kali ini di Kajang kita ada pertandingan Battle Of The Band dan selepas beberapa siri jelajah ini saya dapati ada permintaan besar seperti pertandingan Battle Of The Band dan program kebudayaan,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini pada program Simfoni Muzikal dan Kebudayaan 2015 dan Exco Le Tour Selangor 2015 di Kompleks Metropoint, di sini, semalam.

Amirudin juga berharap pertandingan seumpama itu dapat menarik minat lebih ramai golongan belia untuk mengasah bakat dalam bidang seni.

Terdahulu, pentas utama Kompleks Metropoint digegarkan dengan persembahan beberapa band yang menyertai pertandingan Battle Of The Band sempena Exco Le Tour Selangor 2015.

Pertandingan yang menawarkan hadiah RM1,000 dan piala iringan untuk pemenang pertama itu dimenangi oleh band Topeng, band Oksigen di tempat kedua membawa pulang hadiah RM700 dan Master Piece di tempat ketiga membawa pulang hadiah RM500.

Selain pertandingan Battle Of The Band, turut ditampilkan persembahan berkonsepkan muzikal lain seperti orkestra klasik dan kontemporari, ukulele, nyanyian irama balada, pop muzik, irama Cak Lempong, paluan gong dan tarian tradisional masyarakat Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.