Categories
SELANGOR

Belanjawan 2016 rancakkan ekonomi, merentasi seluruh aspek

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 NOV: Belanjawan Selangor 2016 dengan peruntukan 50:50 bagi pembangunan dan mengurus bakal merancakkan ekonomi negeri.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), Ng Suee Lim, berkata belanjawan berani dan drastik itu membuktikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali komited menumpukan pembangunan rakyat.

BELANJAWAN-SELANGOR-2016-1-660x471Katanya, perbelanjaan itu juga dilihat merangkumi seluruh aspek yang merentasi semua pihak.

“Pengurusan telus dan berhemah itu berbeza dengan Kerajaan Persekutuan. Belanjawan itu mencipta sejarah apabila peruntukan seimbang diberikan.

“Tahun depan kegiatan ekonomi negeri lebih rancak seterusnya membawa pulangan lebih kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam ucapan perbahasannya di Sidang Dewan Negeri (DNS).

Suee Lim (DAP-Sekinchan) turut memuji pencapaian Mohamed Azmin bersama pasukannya berjaya membawa belanjawan defisit 2015 kepada belanjawan surplus.

“Walaupun dibentangkan defisit RM430 juta namun beliau mengambil pendekatan berani menyuntik semangat kepada exco dan penjawat awam bekerja keras mengurus kewangan.

“Akhirnya usaha itu menambah hasil kutipan negeri daripada RM1.97 bilion kepada RM2.05 bilion,” katanya.

Beliau berkata, anggaran defisit bertukar kepada lebihan RM552 juta merupakan pencapaian membanggakan.

“Pujian perlu diberikan kerana berani membuat anjakan paradigma.

“Belanjawan 2016 dengan perancangan ke arah ‘Smart State’ dilaksanakan tepat waktunya,” katanya.

Beliau berkata sebagai negeri maju, Selangor perlu memperkasakan pentadbiran supaya lebih sistematik serta menjadi peneraju ekonomi negeri.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.