Oleh: Rozan Azen Mat Rasip
Mewakili ahli PKR Cabang Batu, kami menganggap tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melemparkan tuduhan terhadap Tian Chua sebagai dalang dan pengatur pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H Kiram sebagai tuduhan melampau dan boleh dianggap pembohongan yang nyata.
Ini terutamanya gambar di majlis berkenaan yang menimbulkan kekecohan itu cuba dikaitkan dengan insiden pencerobohan Lahad Datu dikeluarkan tanpa sebarang bukti dan merupakan dakwaan yang tidak berasas sama sekali.
Ini juga selepas mengambil kira kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dibuat seolah-olah dengan sedar mahu memainkan sentimen kedaulatan negara dan mengaitkan Tian Chua serta Nurul Izzah Anwar dengan gerakan yang dipanggil sebagai Kesultanan Sulu walaupun Naib Presiden Nurul Izzah Anwar telah dengan segera memberi penjelasan terbuka dan memohon maaf kepada semua ahli keluarga polis dan tentera yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Selain itu, kami ahli KEADILAN Batu yakin bahawasanya dakwaan liar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah berniat jahat dan sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti Tian Chua yang telah sebaliknya menunjukkan sikap yang lebih profesional apabila Tian Chua telah memberi tempoh waktu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar menarik balik kenyataan dan tuduhan bahawa kononnya Tian Chua adalah dalang kepada pertemuan itu.
Tian Chua juga telah memberi komen media terhadap isu gambar Nurul izzah Anwar itu dengan insiden Lahad Datu atau siri pencerobohan itu dengan menyatakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang gagal tunaikan janji untuk mengeluarkan Kertas Putih, selain mempersoal rasional perbicaraan mengenainya dibuat secara tertutup.
Walau bagaimanapun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dengan angkuh memberi respon terhadap permintaan Tian Chua itu dengan menyatakan tidak akan menarik balik dakwaannya dan sekali lagi mengulangi tuduhan tidak berasas berkenaan seolah–olah mencabar kesabaran kami ahli KEADILAN dan juga cuba memutar-belit kebenaran isu ini yang tiada apa-apa untuk dirahsiakan.
Sepertimana Tian Chua telah jelaskan, rakyat Malaysia juga tahu dalam isu komen beliau tentang tragedi Lahad Datu itu, Umno telah akhirnya menarik balik kenyataannya kononnya Tian Chua menghina pasukan keselamatan Malaysia di mahkamah pada hari perbicaraan.
Maka pada pandangan ahli KEADILAN Batu, kami berpendirian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya itu adalah suatu lagi pembohongan yang nyata dan tuduhan melampau.
Kami sebagai ahli akar umbi sekaligus pengundi di kawasan Parlimen Batu yakin Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar tiada apa-apa agenda yang boleh menggugat keharmonian kehidupan rakyat dan keselamatan negara dalam memenuhi jemputan majlis di Manila itu sepertimana dakwaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kami juga menyeru dan ingin mendesak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar segera menarik balik kenyataan itu dan secara terbuka memohon maaf kepada Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar kerana dengan sengaja cuba membuat kecoh dan telah mencemarkan nama baik Ahli Parlimen Batu dan Ahli Lembah Pantai merangkap Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat (PKR).
* Rozan Azen Mat Rasip adalah Ketua Ranting Batu Muda PKR Batu dan Setiausaha Yb Tian Chua Ahli Parlimen Batu (P. 115)