Categories
NASIONAL

Kerajaan patut ambil iktibar kerugian RM500 juta

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 NOV: Kerajaan Persekutuan disaran mengambil iktibar tindakan terpaksa menanggung kerugian lebih RM500 juta untuk membeli semula Hospital Pantai Holdings Berhad daripada syarikat Singapura, Parkway Holdings.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia berlaku pada 2005 selepas menyedari Hospital Pantai merupakan pemegang konsesi yang mengendalikan salah satu sektor strategik negara.

1MDBKatanya, kajian perlu dilakukan sebelum 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual syarikat Edra Global Energy Bhd kepada syarikat asing China General Nuclear Power Corp.

“Akhirnya bila berlaku pertikaian, kerajaan terpaksa beli balik Hospital Pantai yang akhirnya memberikan keuntungan atas angin melebihi RM500 juta dan ini membimbangkan apabila kerajaan melalui jawatankuasa pelaburan asing membenarkan pemilikan penuh 100 peratus ke atas Edra.

“Ini bahaya kerana menyentuh sektor strategik. Adakah ada permainan akhirnya kerajaan membeli semula Edra mengakibatkan kita kerugian beratus juta ringgit nanti,” kata Mahfuz pada sidang media di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahfuz turut menganggap langkah itu sebagai langkah menggadaikan keselamatan negara untuk menyelamatkan 1MDB daripada terus dibelenggu hutang.

Edra Global Energy Bhd, anak syarikat 1MDB dianggap sebagai syarikat dalam sektor strategik negara apabila syarikat itu membekalkan 18 peratus tenaga dalam negara.

Syarikat itu dijual kepada sebuah syarikat asing, China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion bagi mengurangkan hutang ditanggung 1MDB.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.