Categories
NASIONAL

Kongres pertama tanpa Anwar, sayu tapi bersemangat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Walaupun sayu tanpa kehadiran Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kongres kali ini, laungan reformasi dan ucapan bermakna barisan kepimpinan parti membuktikan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata semangat ditunjukkan perwakilan hari ini memberi kekuatan tambahan kepada barisan kepimpinan untuk menghadapi cabaran politik dan seterusnya turun ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

nurul izzah“Ucapan dasar presiden pada kongres kali ini dibuat tanpa kehadiran Anwar tetapi semangat beliau tentunya ada bersama kita dan apa yang penting adalah Deklarasi Permatang Pauh yang digariskan beliau pada 1998 lalu.

“Kongres hari ini juga menunjukkan pengorbanan Anwar tidak sia-sia apabila rakyat menyambut seruan beliau untuk meneruskan perjuangan reformasi yang dimulakannya,” kata Nurul Izzah kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Pengarah Latihan KEADILAN, Fuziah Salleh pula berkata, ketabahan Presiden KEADILAN yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu dicontohi semua lapisan ahli KEADILAN.

Fuziah Salleh“Saya amat bangga dengan Presiden walaupun dalam keadaan sedih dan kepiluan beliau kerana pertama kali Anwar tidak bersama dalam kongres tetapi Presiden dapat menunjukkan kekuatannya.

“Saya seorang wanita memahami apa tersirat dalam hatinya tetapi dia tabah dan memberikan ucapan yang merangkumi banyak perkara seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Reformasi Parlimen dan lain-lain,” kata Fuziah.

Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Rodziah Ismail pula memberitahu ucapan dasar Presiden itu hendaklah disebar luaskan kepada semua ahli peringkat akar umbi dan anggota masyarakat lain.

rodziah“Ucapan ini penting kerana masyarakat perlu tahu apa yang kita perjuangkan dan sebagai ahli parti sudah sampai masa ucapan dasar ini kita lawaskan ke bawah agar ramai orang di luar sana memahami intipati apa yang ingin disampaikan Presiden,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.