Categories
SELANGOR

Empat pemain baru sertai Red Giants musim 2016

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 DIS: Seramai empat pemain baru sudah menandatangani kontrak sebagai pemain Skuad Liga Super Selangor bagi musim 2016.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata kejayaan menjulang Piala Malaysia bagi kali ke-33 menambah keterujaan semua pihak berkenaan hala tuju pasukan terutama membabitkan senarai pemain yang akan mewakili pasukan itu bagi musim yang akan datang.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan pengurusan Skuad Liga Super Selangor Darul Ehsan menyedari bahawa perkembangan pasukan itu sentiasa diambil berat dan serius bukan sahaja oleh penyokong setia Selangor khasnya tetapi juga peminat sukan bola sepak tanah air secara keseluruhannya.

IMG_2747“Untuk musim hadapan kita mengambil kira beberapa keadaan bagi memantapkan pasukan untuk saingan Liga Super dan Piala AFC, bahkan satu rombakan perlu dilakukan.

“Empat pemain baru sudah dipilih Selangor yang menjadikan kita mempunyai 19 pemain temasuk dua lagi pemain import yang bakal diumum kelak,” katanya.

Pemain baru yang bakal menyertai Skuad Liga Super Selangor adalah penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid; pertahanan, Mohd Razman Roslan dan pemain tengah R Gopinathan serta Mohd Hafiz Kamal daripada pasukan Pahang.

Amirudin berkata, 60 peratus pemain selebihnya akan dikekalkan untuk mengharungi sesi 2016.

“Ia satu keputusan yang sukar kerana kebanyakan prestasi pemain Skuad Liga Super Selangor daripada awal musim sehingga tamat Piala Malaysia berada pada tahap yang meyakinkan.

“Pemain yang tidak dikekalkan bakal menjalani proses perpindahan dengan lancar, namun saya yakin berdasarkan prestasi mereka yang cemerlang pasti akan menerima tawaran yang baik daripada pasukan lain,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.