Categories
SELANGOR

Liqa’ Ukhuwah 1 Januari sasar 5,000 pengunjung

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Liqa’ Ukhuwah yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), 1 Januari depan menyasarkan kunjungan seramai 5,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif SACC, Shuhainie Shamsudin, berkata program yang diadakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul dan Tahun Baru itu menampilkan kelainan berbanding tahun lalu.

Katanya, antaranya pengisian dan tempoh masa program.

Liqa-Flyer-A5_Front-724x1024“Tahun lalu, kita adakan pada waktu pagi, namun sambutan yang menggalakan, tahun ini program diadakan daripada pagi hingga malam.

“Program bertemakan ‘Memperkasa Azam, Merapatkan Ukhuwah’ dipilih berdasarkan situasi cabaran kewangan dan ekonomi dan juga isu keharmonian masyarakat yang berlaku masa ini.

“Setiap tajuk ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan memberi tumpuan kepada panduan memperkasakan azam masing-masing,” katanya dalam sidang media, di Westside Cafe, SACC, di sini.

Shuhainie berkata antara program menarik yang disediakan ialah ceramah oleh penceramah dan pakar motivasi terkenal seperti Profesor Dr Muhaya, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Imam Muda Asyraf dan Ustazah Sharifah Khasif.

Katanya, peminat Zahariz Khuzaimah juga boleh meluangkan masa selama sejam bersama beliau untuk berkongsi pengalaman pengembara solo itu.

“Bagi golongan kanak-kanak pula, Upin dan Ipin akan menghiburkan mereka dengan pelbagai aktiviti menarik melalui zon Khalifah kecil.

“Terdapat juga acara selawat oleh Pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah dan persembahan kumpulan ‘Ustaz Jay’, Raqib Majid dan The Hulubalangs,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 40 bazar akan dibuka pada hari itu.

“Kita meneruskan program ini pada bila-bila masa akan datang.

“Saya mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai pihak dalam bekerjasama untuk program seperti ini,” katanya.

Program terbabit akan bermula jam 11 pagi hingga 10 malam di Perkarangan SACC.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.