Categories
SELANGOR

MPSp peruntuk RM300,000 bina semula kawasan tanah runtuh

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEPANG, 23 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membina semula kawasan tanah runtuhan di Jalan Sekolah, Kampung Baru Salak, di sini.

Yang Dipertuanya, Datuk Puasa Md Taib, berkata peruntukan bagi tujuan itu diluluskan dalam mesyuarat majlis dipengerusikannya semalam.

tanahruntuh 2“Kita bersetuju meluluskan peruntukan RM300,000 bagi melantik kontraktor bagi membina semula runtuhan yang berlaku di kawasan ini.

“Sekiranya memerlukan peruntukan tambahan, kita akan bermesyuarat dan menentukan selepas ini. Kerja pembinaan ini dijangka dapat dilakukan pada esok atau lusa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.20 pagi 13 Disember lalu apabila tembok penghalang konkrit dibina pemilik rumah di atas bukit runtuh kerana tidak mengikut spesifikasi.

Akibat daripada itu menimpa lima buah rumah kediaman yang berada di bawah bukit sekali gus meranapkan bahagian belakang dapur rumah mereka.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengambil masa sembilan hari bagi membuat keputusan kerana kajian teknikal dibuat Jabatan Kejurteraannya bagi menentukan apa proses perlu dilakukan selain mengambil kira pelantikan kontraktor yang pakar dan berwibawa bagi tujuan berkenaan.

Katanya, MPSp juga baharu membentuk satu jawatankuasa khas bagi memantau kawasan tertentu mempunyai cerun dijangka boleh menyebabkan keruntuhan.

“Beberapa kawasan dikenal pasti dan kita sentiasa menjalankan pemantauan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa.

“Sebagaimana arahan Kerajaan Negeri, kita juga akan melantik jurutera pakar dalam bidang berkaitan dan dijangka pelantikannya pada awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata, MPSp menasihatkan penduduk dan pihak tertentu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana sebarang pembinaan seharusnya mendapat kelulusan.

Sebelum itu, MPSp melaksanakan kerja awalan dengan kos RM9,000 iaitu menutup permukaan tanah runtuh dengan kanvas bagi mengelak berlaku pergerakan tanah dan lumpur dari memasuki rumah mangsa.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.