Categories
BERITA UTAMA

PTPTN bukan Along?

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Isu jumlah potongan yang tinggi dari gaji bulanan penjawat awam oleh PTPTN mengamit saya untuk memberikan pandangan walaupun saya tak termasuk dalam senarai peminjam PTPTN tetapi aspek kebajikan adalah bidang tanggungjawab saya di dalam parti.

Mengikut kenyataan CUEPACS, ada penjawat awam yang gajinya hanya berbaki RM19 setelah PTPTN memotong gaji mereka pada kadar maksimum.
Samada ini adalah kes terpencil atau ramai lagi yang senasib, saya berpendapat tindakan ini adalah satu kezaliman sekalipun PTPTN ingin memungut kembali pinjaman yang mereka keluarkan.

Kita memahami wujudnya kategori penghutang tegar yang langsung tidak menjelaskan pinjaman mereka.

Mengikut kenyataan Pengerusi PTPTN, jumlah dana yang diperlukan untuk membiayai kira-kira 400,000 pelajar yang sedang menuntut ialah kira-kira RM4 bilion setahun.

ptptn studentSehingga tahun 2014 terdapat kira-kira 178 ribu penghutang tegar dari kira-kira 2.1 juta orang peminjam. Perlu diperincikan di mana penghutang tegar itu sekarang?

Apakah mereka berjaya mendapat pekerjaan atau menjadi penganggur terhormat selepas pengajian?

Kalau mereka memang sudah mempunyai pekerjaan, tentunya mereka tak boleh lari dari membayar balik pinjaman.

Inilah peraturan dengan kerajaan yang sedia ada. Kecuali apabila kerajaan bertukar, saya yakin polisi akan berbeza.

Falsafah PTPTN adalah untuk menyediakan dana bantuan pinjaman kepada pelajar di negara ini yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

Diawal penubuhannya pada tahun 1997, kerajaan telah menyediakan geran dari dana awam berjumlah RM55 bilion. Setiap tahun ada diperuntukan dari Bajet Kerajaan untuk PTPTN.

Memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato Seri Ir Dr Zaini Ujang, RM10 bilion lagi peruntukan disediakan kerajaan di bawah Bajet 2016 bagi memberi pinjaman kepada bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

anti_PTPTN_16Kalau berpandukan kepada kenyataan Pengerusi PTPTN, sejumlah RM4 bilion diperlukan setahun untuk memberikan pinjaman kepada semua pelajar samada yang berada di IPTA dan IPTS, bermakna kalau kerajaan nak bagi biasiswa, itulah dia anggaran jumlah yang diperlukan setahun. Kalau biasiswa nak diberikan kepada pelajar-pelajar IPTA sahaja, tentu jumlahnya akan jauh berkurangan.

Tetapi hakikatnya sekarang ini kerajaan memperuntukan bajet tahunan sehingga RM10 bilion setahun kepada PTPTN yang sebenarnya dah jauh melebihi dari keperluan pelajar!

Dalam masa yang sama walaupun telah mendapat dana dengan jumlah yang agak besar dari kerajaan, PTPTN juga meminjam dari institusi kewangan dengan jaminan kerajaan dan perlu membayar balik faedah pinjaman tersebut.

Bayaran balik faedah inilah yang menuntut jumlah peruntukan yang besar. Kenapa setelah PTPTN mendapat peruntukan dari kerajaan, tetapi masih mencari beban dengan meminjam dari institusi kewangan?

Saya bentangkan beberapa fakta ringkas ini untuk kita berlaku adil kepada semua pihak antara peminjam dan pemberi pinjaman. Saya tertarik dengan ungkapan PTPTN bukan along, PTPTN nak tolong!

Kalau tanya pandangan saya, tentunya saya berpendapat bahawa paling kurang, pelajar-pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi awam layak diberikan biasiswa dan bukannya pinjaman.

Kalau suatu ketika dulu ketika negara belum lagi canggih dengan pelbagai kecanggihan, pelajar-pelajar boleh dapat biasiswa.

Bila negara semakin canggih, pelajar-pelajar yang habis pengajian dengan peluang kerja yang masih samar-samar, di atas bahu mereka telah terbeban hutang berjumlah puluhan ribu ringgit.

Jumlah RM4 bilion yang diperlukan setahun untuk memberikan biasiswa, apakah ia suatu angka yang besar demi pendidikan anak bangsa? Banyak lagi pembaziran yang berlaku telah menghabiskan berbilion-bilion ringgit.

PTPTN nak pungut balik hutang mereka, dalam masa yang sama PTPTN perlu sedar siapa mereka. Mereka bukannya bertungkus-lumus cari duit sendiri untuk nak bagi kepada pelajar.

Duit yang mereka salurkan kepada pelajar-pelajar adalah dari dana awam. Mereka dah tegaskan bahawa mereka bukan along tapi kalau dipotongnya gaji penjawat awam sehingga berbaki hanya RM19, itu dah lebih teruk dari along! Nak makan apa dengan RM19?

Selamat membayar balik pinjaman PTPTN wahai para peminjam sekelian. Kalau tahu dan sedar bagaimana polisi PTPTN telah menindas dan menekan para peminjam, anda sepatutnya tahu apa tindakan yang perlu dibuat. Tak perlu mengeluh dan merintih. Kuasa undi ada di tangan anda!

*Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.