Categories
NASIONAL

RM120,000 menanti penerima Dana Sastera Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 2 DIS: Anugerah Hadiah Sastera Selangor Kini bakal menobatkan penerima sulung Dana Sastera Selangor 2015 serta dana RM120,000.

Tokoh sasterawan terpilih berpeluang menerbitkan karya dan mengadakan program pembangunan bakat dalam bidang sastera sumbangan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari, berkata lima finalis untuk setiap kategori karya yang diterbitkan Selangor Kini pula sudah disenarai pendek dan bakal berlangsung di RUANG Event Space, Seksyen 16, di sini, jam 8 malam, pada 8 Disember ini.

yb amir poster 2Katanya, hampir 200 karya penulisan dari tiga kategori iaitu cerpen, sajak dan esei sudah dihimpunkan untuk dinilai juri yang diketuai Sasterawan Negara, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan.

“Karya terbaik yang memenangi hadiah utama untuk setiap kategori bakal menerimawang tunai RM5,000 manakala empat karya terbaik akan dipilih sebagai pemenang hadiah saguhati RM1,000.

“Semua pemenang juga bakal membawa pulang trofi dan sijil penghargaan,” katanya kepada Selangor Kini, pada 1 Disember lalu.

Selaku Ketua Juri, Mohd Anwar menghargai peranan dimainkan Kerajaan Selangor dalam membuka ruang seni khususnya buat karyawan muda.

Katanya, hampir 90 peratus karyawan muda menghantar nukilan sastera untuk penganjuran sulung anugerah.

“Finalis dipilih berdasarkan tiga kriteria. Pertama, kandungan isu yang diketengahkan sama ada berat atau sederhana, gaya pengolahan juga penggunaan bahasa. Saya mengharapkan anugerah sebegini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Hadiah Sastera Selangor Kini bertujuan memberi penghargaan kepada karya sastera yang diterbitkan di akhbar Selangor Kini bermula akhir 2014 sehingga Oktober lalu.

Anugerah itu diharapkan dapat merancakkan lagi bidang penulisan sastera dalam bentuk cerpen, sajak dan esei dalam kalangan penulis muda dan mapan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.